Polis merampas dua pucuk pistol dan lebih 600 butir peluru selepas menahan tiga lelaki, termasuk dua ahli kongsi gelap di Pulau Pinang.
Penahanan itu sekaligus dapat menyelesaikan tiga kes tembak yang berlaku di negeri itu.
DATUK ABDUL RAHIM HANAFI / KETUA POLIS PULAU PINANG
“Masih ingat restoran Triple 5 yang ditembak di Simpang 4, Nibong Tebal dan lepas itu owner restoran itu ditembak, dua kes itu dapat di selesaikan dan juga satu di Sabak Bernam”.
Katanya, polis menahan dua lelaki di Kuala Kurau, Perak Sabtu lalu.
Siasatan mendapati mereka adalah ahli kongsi gelap yang dipercayai terlibat dalam kes tembak di Simpang Ampat.
Kedua-dua mereka didapati mempunyai beberapa rekod jenayah.
Hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek, polis membuat serbuan di sebuah rumah di kawasan sama.
Seorang lelaki yang dipercayai membekalkan senjata kepada dua-dua suspek terbabit – ditahan dalam serbuan itu.
Polis merampas dua pucuk pistol serta 675 peluru jenis sembilan mm di dalam rumah tersebut.
Ketiga-tiga suspek berumur 36 hingga 60 tahun kini ditahan reman untuk membantu siasatan.