Apabila tiba di Miqat Zul Hulaifa, juga dikenali sebagai Bir Ali, kira-kira sembilan kilometer dari kota suci ini, Turan Babayev dari Azerbaijan tidak begitu pasti tentang cara untuk memakai ihram.
Mujurlah jemaah dari Eritrea Abdella Suleiman sudi memberi tunjuk ajar kepadanya tentang cara memakai pakaian itu.
Mula-mula, mereka mandi dan selepas itu terus memakai ihram – dua helai kain putih tidak berjahit – sehelai dipakai di bahagian pinggang dan diikat dengan tali pinggang, manakala sehelai lagi diselimut di bahagian bahu.
Memakai ihram di miqat adalah suatu rukun sebelum seseorang jemaah menunaikan umrah atau haji.
Miqat Zul Hulaifa adalah satu daripada enam tempat di mana jemaah dari kawasan Madinah dan sebelumnya perlu lalui dengan berpakaian ihram.
Miqat lain ialah Dzatu Irqin bagi jemaah dari Iraq dan sebelumnya; Qarnul Manazil, dari Najd dan untuk mereka dari Yemen; Wadi Mahram berhampiran Miqat Qarnul Manazil; Al Juhfah (dari Syria, Mesir dan Turki) dan Yalamlam (bagi jemaah yang membuat perjalanan di sepanjang kawasan pantai).
Selepas menunaikan solat sunat dua rakaat di Masjid Shajra, Turan dan Abdella menaiki bas bersama jemaah lain untuk ke Makkah bagi mengerjakan Umrah.
Menurut riwayat, Nabi Muhammad (s.a.w) melakukan mandi ihram di Zul Hulaifa dan memasuki Masjid Shajra untuk menunaikan solat sebelum mengerjakan haji.
Ketika berada di dalam bas, para jemaah membaca Talbiyah, “Labbaik Allahhuma Labbaik…” (Aku sahut panggilanMu, ya Allah, ku sahut panggilanMu)
Sebaik saja memakai ihram, jemaah tertakluk kepada beberapa kewajipan dan larangan tertentu seperti mencukur rambut atau bulu dari mana-mana bahagian tubuh atau memotong kuku dan memakai pakaian berjahit bagi lelaki.
Turan agak teruja dengan pengalaman baharu itu.
“Ini kali pertama bagi saya (berbuat begitu) dan saya datang seorang diri dari negara saya,” kata wartawan televisyen berusia 27 tahun dari Baku ini.
Turan dan Abdella adalah anggota rombongan media yang diundang kerajaan Arab Saudi untuk menjadi pemerhati perjalanan ibadah haji tahun ini yang menyaksikan pihak berkuasa mengurangkan kuota bagi jemaah asing sebanyak satu perlima dan jemaah tempatan sebanyak separuh.
Langkah itu diambil berikutan pembangunan secara besar-besaran untuk menaik taraf kemudahan di sekitar Masjidil Haram bagi menjamin keselamatan dan keselesaan para jemaah.
Sebanyak 22,320 rakyat Malaysia menunaikan haji tahun ini.
Tahun lalu lebih tiga juta jemaah menunaikan rukun Islam kelima itu.
Dalam perjalanan ke Makkah, bas yang mengangkut jemaah perlu berhenti di beberapa pusat pemeriksaan dan petugas keselamatan akan menaiki bas untuk melakukan pemeriksaan bagi memastikan mereka yang tidak mempunyai pas haji tidak memasuki kota suci itu.
Menurut laporan media tempatan, polis Arab Saudi meningkatkan kawalan untuk menghalang mereka yang tidak mempunyai pas, terutama yang membuat perjalanan melalui Jeddah, pelabuhan yang sering digunakan oleh penyusup, untuk memasuki Makkah.
Dengan tinggal beberapa hari saja lagi para jemaah akan bergerak ke Mina sebelum hari wukuf pada 14 Okt, lebih banyak pusat pemeriksaan diwujudkan bagi memeriksa dokumen jemaah.
Malah, bukit-bukau di kawasan sekitarnya juga turut dipantau polis dengan menggunakan kamera dan helikopter.
Di Makkah, pemandu teksi dikenali sebagai Ahmed berkata dia gembira dengan keputusan kerajaan mengurangkan kuota jemaah.
“Keadaan lalu lintas kali ini tidaklah seteruk tahun-tahun sebelumnya,” kata Ahmed.
Bagaimanapun, dia tidak begitu pasti sama ada keadaan ini akan berkekalan pada hujung minggu ini iaitu menjelang Hari Wukuf pada 14 Oktober.
Sebaik saja tiba di Makkah, anggota rombongan media tidak membuang masa untuk terus ke Masjidil Haram bagi mengerjakan tawaf dan saie.
Selepas selesai mengerjakan saie, jemaah lelaki akan menggunting rambut atau mencukur kepala.
Sementara itu, dengan penuh ketenangan, Turan meneguk air zam-zam sambil menghadap Kaabah untuk mencari keberkatan.