“Ambillah sebahagian daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka daripada dosa dan mensucikan mereka daripada akhlak yang buruk.
Doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan ingatlah Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui” (At Tawbah: 103).
Begitulah pentingnya salah satu rukun Islam yang lima dalam kehidupan umat Islam. Zakat bukan sahaja dapat mententeramkan hati dalam mengejar keberkatan hidup malah dapat berkongsi sedikit kesenangan bersama golongan asnaf yang memerlukan.
Oleh yang demikian, ibadah zakat yang wajib adalah dengan membahagikan harta kekayaan golongan kaya yang berkemampuan kepada golongan miskin mengikut peraturan dan landasan yang diletakkan oleh syarak.
Zakat terdiri daripada Zakat Pendapatan, Zakat Perniagaan, Zakat Wang Simpanan, Zakat Saham, Zakat KWSP, Zakat Emas, Zakat Perak, Zakat Pertanian dan Zakat Penternakan.
ZAKAT KINI – MUDAH, DAN MENJIMATKAN MASA
Atas rasa tanggungjawab dan melihatkan kepentingan itu sendiri, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah memperbanyakkan medium membuat pembayaran bagi memudahkan masyarakat untuk melunaskan tanggungjawab.
Masyarakat kini boleh memilih medium yang sedia ada seperti kaedah pembayaran zakat melalui online, melalui skim potongan gaji, perbankan internet, kad kredit dan juga menerusi kaunter zakat bergerak.
KAUNTER ZAKAT BERGERAK
Pelbagai program dilaksanakan PPZ-MAIWP melibatkan syarikat swasta dan kerajaan bagi memudahkan orang ramai berzakat antaranya melalui kaunter zakat bergerak.
Menurut Pegawai Kanan Perhubungan Awam PPZ-MAIWP, Nur Haliza Abd Rahman; “Setiap hari, kaunter bergerak kami akan ke agensi-agensi kerajaan dan swasta dari pagi hingga ke petang untuk memberi kemudahan kepada kakitangan yang ingin berzakat. Kita telah bermula pada tahun lepas dan sambutan yang diterima amat menggalakkan”.
Selain itu, kaunter bergerak ini turut datang atas permintaan mana-mana syarikat kerajaan dan swasta dan juga turut turun ke lokasi seperti di pasar-pasar malam, masjid dan pusat membeli belah khususnya pada hujung minggu.
AKTIVITI ZAKAT
Jom Jadi Sahabat Zakat merupakan salah satu program terbaru yang dapat memberi kelebihan dan manfaat kepada peserta-peserta yang menyertainya.
“Kami menyambut baik penyertaan orang ramai melalui program Jom Jadi Sahabat Zakat yang mana kempennya berlangsung dari 16 Sept hingga 17 Okt ini dan yang pastinya pelbagai kelebihan menanti mereka”, ujar Nur Haliza lagi.
Baru-baru ini juga telah berlangsung program “Ustazah Pilihan” bersama PPZ-MAIWP dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Di Lobi MIDA Sentral, Kuala Lumpur dengan Ustazah Nurul Hidayah Kamarudin, Pegawai Zakat di PPZ-MAIWP menyampaikan ceramah yang bertajuk ” Barakah Dalam Harta”.
KEBERKATAN HIDUP
Jika sebelum ini, ramai yang membuat pengiraan sendiri menggunakan sistem online, namun dengan adanya “Skim Thohir” yakni pemotongan gaji, masyarakat akan lebih yakin dengan pengiraan yang dilakukan oleh pihak zakat.
“Sebelum ini, saya memang membayar zakat namun ianya mengikut pengiraan sendiri iaitu sebanyak RM50 sebulan. Namun setelah berjumpa dengan pihak zakat, barulah saya sedar rupanya bayaran sepatutnya lebih daripada itu. Jadi saya rasa lebih yakin dan lebih berkat”, kata kakitangan MIDA, Norhana Ab. Rauf, 47.
Sementara itu, Anggota Jawatankuasa Kebajikan, Kerohanian dan Sahsiah MIDA, Mohamad Farhan Mansor, 33, program ini berlangsung atas permintaan kakitangan MIDA sendiri.
Ia menunjukkan perkembangan yang sangat positif dalam mendekatkan diri dengan tanggungjawab sesama Islam dan kepada agama khususnya.
Orang ramai yang ingin membuat rujukan dan berurusan dengan Pusat Rujukan Zakat, boleh menghubungi talian 1 300 88 5757 atau merujuk di laman web www.zakat.com.my.