Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pulau Pinang gara-gara mendakwa dirinya kerabat diraja Kedah dengan menggunakan gelaran Yang Teramat Mulia.
Dia didakwa atas pertuduhan menipu dan menggunakan lambang pertubuhan tanpa kebenaran pendaftar pertubuhan ROS.
Tertuduh, Roshidi Fadzil, 47 tahun dari Bukit Beruang, Melaka didakwa melakukan kesalahan itu pada 23 Oktober tahun lalu di sebuah hotel di Jalan Penang jam 4.15 minit petang.
Pertuduhan pertama, dia didakwa menggunakan lambang Pertubuhan Amal Kebajikan Islamiah Malaysia – Pakim Diraja, Serampang Tiga tanpa mendapat kebenaran ROS.
Pertuduhan kedua Roshidi didakwa memperdaya Ooi Ten Sen dengan menggunakan gelaran Yang Teramat Mulia Tunku Putera Roshidi Tunku Haji Fadzil di lokasi dan tarikh yang sama.
Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah.
Majistret l. Umma Devi membenarkan tertuduh dikenakan jaminan RM10 ribu dengan seorang penjamin.
18 November depan tarikh sebutan semula dan pengurusan kes.