Orang ramai yang menyebarkan gambar dan rakaman CCTV pembunuhan kejam seorang pegawai bank di media sosial termasuk di Facebook dan Whatsapp boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, SKMM menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya menjelaskan, penyebaran gambar dan video mangsa adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sabit kesalahan membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau satu tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
SKMM menasihatkan orang ramai untuk tidak menyebarkan gambar dan rakaman terbabit bagi menghormati mangsa dan keluarga beliau.
Perbuatan itu juga mungkin mengakibatkan gangguan emosi kepada orang ramai terutamanya kanak-kanak.
SKMM turut meminta kerjasama YouTube untuk mengeluarkan video berkenaan dengan seberapa segera.