Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk Hadi Ho Abdullah mengesahkan penahanan suspek utama kes tembak mati seorang pengawai operasi Ambank di Subang Jaya bulan lalu.
Beliau berkata suspek ditahan pada pukul 7 pagi Ahad di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor.
“Pasukan Ops Cantas Khas berjaya menahan suspek di Johor.
“Dengan penahanan ini operasi memburu suspek selama tiga minggu telah pun berakhir,” kata Hadi kepada The Star Online pada pagi Ahad.
Hadi berkata polis kini sedang menyiasat sama ada suspek bersembunyi di kampung berkenaan atau pun dia sedang bersiap sedia untuk melarikan diri ke Indonesia.
“Kita sangat berterima kasih dengan kerjasama daripada orang ramai dan keprihatinan mereka dalam kes ini.
“Hingga suspek utama kes menembak mati seorang pegawai bank dan rompakan ini berjaya ditahan,” katanya.
Pada 23 Oktober lalu, pegawai operasi sebuah bank Norazita Abu Talib ditembak mati dengan ‘pump gun’ sebaik sahaja mangsa membuka pintu bilik kebal bank berkenaan di Jalan USJ Sentral 2.
Supek kemudiannya melarikan diri bersama wang berjumlah RM450,000 dengan menaiki motosikal.
Polis telah menahan tujuh individu termasuk rakan serta saudara pengawal keselamatan bekenaan.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan pihak polis memberkas suspek.
“Kita harap orang ramai dapat berkerjasama dengan pihak polis dalam membanteras jenayah,” katanya di laman twitter beliau.