SEMANGAT kerjasama, saling bantu-membantu menjadi pegangan setiap peserta sepanjang tiga hari Ekspedisi Raja Muda Selangor 2013 – Rakyat Dicintai, Rimba Disayangi baru-baru ini.
Keberanian dan keyakinan diri kesemua 35 peserta diuji sepanjang perjalanan yang sejauh 120 kilometer dengan menggunakan kenderaan pelbagai permukaan (ATV).
Para peserta perlu mengharungi kawasan bersungai, mendaki bukit berlumpur dan melalui ladang kelapa sawit serta getah di sekitar Hulu Selangor.
Ekspedisi itu merupakan peluang terbaik bagi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk bertemu masyarakat di sekitar Felda Sungai Tengi dan Kampung Sungai Jang dengan lebih dekat.
Baginda ketika ditemui bertitah, program itu telah dirancang sejak setahun lalu dengan tujuan untuk menjelajah dan melihat kawasan hutan dan alam sekitar di Selangor.
“Pengalaman yang penuh mencabar ini membuka mata saya tentang keindahan alam semula jadi dan tanaman yang terdapat di sini. Masyarakat di negara ini perlu terus menjaga dan memastikan agar ia dapat dinikmati dan dihargai generasi akan datang.
“Sepanjang ekspedisi, setiap peserta sentiasa bekerjasama dan menyokong antara satu sama lain. Faktor-faktor itu juga telah melancarkan perjalanan kami,” titahnya.
Baginda turut bertitah, menaikkan ATV di atas rakit untuk mengharungi sungai deras merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang ekspedisi itu.
Program kendalian ATV Adventure Park Kuala Lumpur itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Perhutanan Selangor, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Majlis Daerah Hulu Selangor dan Polis Diraja Malaysia.
Hanya 25 orang peserta yang memandu ATV, manakala 10 peserta lain berperanan sebagai ahli jawatankuasa yang menyediakan kelengkapan logistik seperti bekalan makanan, minyak dan air sepanjang ekspedisi itu.
Salah seorang peserta, Shah Khan, 57, memberitahu, trek sepanjang ekspedisi yang melalui kawasan hutan simpan dan bukit curam kadangkala membuatkan peserta hilang keyakinan.
“Sokongan rakan-rakan yang sentiasa bersikap positif membuatkan kami berjaya mengharungi segala cabaran.
“Tip yang diberikan oleh Mas Fadzil Khan selaku Pengarah Urusan ATV Adventure Park Kuala Lumpur agar meluruskan pemegang ATV semasa menaiki bukit juga amat berguna. Teknik itu memastikan ATV yang dinaiki tidak senget dan mudah melepasi halangan,” jelasnya.
Melepasi cabaran
Bagi Mazlan Ab. Rahman, 49, laluan yang dilalui sepanjang ekspedisi tersebut ternyata sukar bagi mereka yang baru mula berjinak-jinak dalam sukan lasak ATV.
“Keyakinan dan keberanian merupakan perkara paling penting yang perlu disemat dalam jiwa setiap peserta. Selain itu, teknik pengendalian ATV yang betul di laluan-lauan sukar juga memberi satu pengajaran yang berguna,” ujarnya.
Sementara itu, Mas Fadzil berkongsi pendapat, dia kagum dengan kemampuan setiap peserta yang mengendalikan kenderaan ATV mereka dalam ekspedisi berkenaan.
“Saya tidak sangka, peserta yang baru belajar memandu ATV berjaya melepasi cabaran walaupun ada kalanya ia berlarutan sehingga ke waktu malam.
“Sekiranya terkandas, saya pasti mereka akan mengambil masa lebih sejam untuk melepasi halangan itu dan tidak mustahil ekspedisi itu mengambil masa yang lebih lama untuk tamat,” ujarnya.
Menerusi ekspedisi tersebut, peserta berpengalaman berkhemah bersama Tengku Amir Shah.