Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil seorang pegawai kanan polis semalam untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan terhadap tiga pegawai polis lain berkaitan kegiatan penggubahan wang haram bernilai RM6 juta.
Akhbar Berita Harian (BH) yang memetik sumber SPRM melaporkan keterangan dari pegawai berpangkat Asisten Komisioner dari Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur itu sebagai prosedur biasa siasatan dan ia perlu bagi mengesahkan jawatan serta peranan tiga pegawai yang disiasat SPRM.
Pada November lalu BH melaporkan tiga pegawai terbabit masing-masing berpangkat Deputi Superintendan, Assistan Superintendan dan Sarjan ditahan secara berasingan
Ketika mereka ditahan SPRM turut menemui wang tunai lebih setengah juta, tiga unit jam tangan berjenama Rolex dan turut ditemui sejumlah barang-barang kemas.
Hasil siasatan awal Suruhanjaya ini mendapati kegiatan penggubahan wang haram ini melibatkan nilai jutaan ringgit.
Dua daripada pegawai yang ditahan tersebut kini bertugas di Johor manakala seorang di Seremban, Negeri Sembilan.
Salah seorang pegawai terbabit disyaki terlibat dalam penggubahan wang haram membabitkan jumlah RM1.7 juta manakala seorang lagi dianggarkan melakukan kesalahan yang sama membabitkan wang haram bernilai RM4.3 juta.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (Akta 613) (AMLATFA) dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.