AMPANG JAYA: Seorang lelaki maut manakala anak perempuannya melecur 70 peratus selepas kediaman teres dua tingkat di di Jalan Perdana 10, Pandan Perdana, di sini, terbakar petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu, mangsa, Ng Chee Wei@Peter, 52, ditemui maut dalam keadaan terbaring dan kesan kelar di tangan kanan di bilik tidurnya di tingkat atas.
Anaknya pula, Ng Qi Jang, 17, melecur 70 peratus dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Ampang.
Ketua Zon Bomba Hulu Langat Hamdan Daud berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 5.46 petang dan tiba di lokasi kejadian sembilan minit kemudian.
Menurutnya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan dan BBP Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan 15 anggota.
“Bagaimanapun ketika tiba di lokasi kejadian api yang terbakar di tingkat bawah berjaya dipadam jiran mangsa.
“Kita kemudian naik ke tingkat atas sebelum menemui kedua-dua anak beranak itu. Lelaki terbabit gagal diselamatkan sementara anak perempuannya yang berada di sebelah melecur 70 peratus dan dalam keadaan separa sedar,” katanya kepada pemberita, tadi.
Hamdan berkata, kebakaran hanya berlaku di tingkat bawah dan tidak merebak ke tingkat atas.
Difahamkan jiran menyedari kejadian itu selepas terdengar salakan anjing masa sebelum mereka keluar dan terkejut melihat kediaman mangsa terbakar.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Khairuldin Saad mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengetahui kejadian sebenar.