Seorang wanita yang jatuh ketika ingin mendaki Bukit Tabuh, Taman Melawati, Ampang dekat sini disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur ketika menerima rawatan petang ini.
Mangsa, Solehah Abd. Rahman, 25, yang juga pelajar sebuah universiti di ibu negara sebelum ini ditemui pengsan akibat jatuh daripada ketinggian 60 meter di bukit itu berjaya diselamatkan pihak bomba kira-kira 12.45 tengah hari tadi.
Mangsa telah dibawa keluar dari lokasi kejadian ke hospital menggunakan helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Kejadian ini merupakan kali kedua selepas pasukan bomba menyelamatkan seorang wanita yang terjatuh di lokasi yang sama pada 5 Januari lalu.