GEORGETOWN: Tiga pelajar sebuah kolej swasta yang mengambil gambar pemandangan dari atas sebuah kren nyaris maut apabila kren terbabit hilang kawalan dan menghempap bumbung sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Lebuh King di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, dua pelajar perempuan dan seorang lelaki menyewa kren terbabit untuk mengambil gambar bagi menyiapkan tugasan mereka.
Mereka yang berdiri dalam bakul kren bagaimanapun terselamat apabila ia terjatuh di atas bumbung menyebabkan ketiga-tiganya terperangkap hampir setengah jam di atas bumbung terbabit.
Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Samsudin Ahmad berkata, kren terbabit dipercayai hilang kawalan kerana dua daripada tayarnya tidak berfungsi menyebabkan ia terangkat.
Menurutnya, semua mangsa berjaya diselamatkan anggota bomba dan tiada sebarang kecederaan serius berlaku.