Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 3.0) akan diagihkan kepada rakyat dalam tempoh dua minggu lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang akhbar selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO berkata, seramai 7.9 juta rakyat akan menerima agihan BR1M tersebut.
“Saya dimaklumkan BR1M akan dilaksanakan dalam masa dua minggu lagi iaitu pertengahan Februari di mana 7.9 juta rakyat akan menerimanya. Ini akan membantu rakyat dalam menghadapi masalah kenaikan harga barang,” kata Najib
Sementara itu Najib yang juga Presiden UMNO berkata, kerajaan kita mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan beban rakyat akibat kenaikan harga barangan.
“Dari segi asas dan fundemental negara kita masih teguh dan mendapat pengiktirafan dalam dan luar negara. Jika dilihat dari segi pelaburan, pertumbuhan ekonomi dan inflasi dan sebagainya ekonomi kita berada dalam keadaan baik dan menyakinkan.
“Namun kita tak menafikan rakyat menghadapi masalah berhubung kenaikan harga barang dan kerajaan sedang menangani hal ini dengan pelbagai langkah yang telahpun diumumkan,” jelas Najib.
Najib berkata, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet sedang menunggu hasil daripada makmal yang akan mencadangkan langkah-langkah tambahan untuk mengurangkan beban rakyat.
Najib juga berkata, masalah rantaian bekalan barangan yang melibatkan peruncit dan pemborong menaikkan harga tidak berpatutan dan serta faktor cuaca juga diteliti oleh kerajaan dalam membendung kenaikan harga barang.