Panik dengan kehadiran polis, serbuk ketamin yang dipegang dicampak ke tepi dinding bilik karaoke.
Lalu cuba memboloskan diri dari kawalan pihak berkuasa.
Tindakan agresif tokan dadah ini bagaimanapun tidak berhasil apabila akhirnya diberkas.
Gelagat ini dapat dirakamkan lensa krew kami yang menyertai Ops Khas Noda Unit Maksiat D7 Bukit Aman di sebuah pusat hiburan yang baru sebulan beroperasi di Taman Perindustrian Tupai, Taiping tengah malam tadi.
Sebaik digempur sebahagian pengunjung panik manakala gro asing pula lesap menyembunyikan diri.
Selepas hampir 30 minit memeriksa premis terbabit, didapati di sebalik dinding marmar tandas ada ruang khas yang dilengkapi alat penghawa dingin yang boleh memuatkan 15 orang.
24 gro warga China, Vietnam dan Indonesia ditahan.
Seorang daripadanya berusia 17 tahun disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Manusia.
4 pekerja tempatan turut ditangkap.
Dari 95 pengunjung yang diperiksa, 35 disahkan positif dadah.
Kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Taiping untuk pemeriksaan lanjut.