21 FEBRUARI 2014 / 21 RABIULAKHIR 1435H
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita berusaha meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita semua beroleh kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat. Tajuk khutbah yang akan dibicarakan pada hari ini ialah:“HADITH: SUMBER PERUNDANGAN ISLAM”.
Sidang Jumaat Yang Dikasihi Sekalian,
Agama Islam adalah agama fitrah yang selari dengan fitrah manusia. Ia merupakan sebagai satu cara hidup yang sempurna dan lengkap, merangkumi semua aspek kehidupan manusia yang meliputi aspek akidah, syariat dan akhlak. Jika dilihat dari sudut syariat, agama Islam telah membuat satu peraturan bagi mengatur perjalanan hidup insan dengan sebaik mungkin yang didasarkan kepada sumber-sumber perundangan Islam.
Mimbar yang mulia ini ingin mengatakan bahawa terdapat empat sumber hukum yang disepakati jumhur ulama di dalam perundangan Islam iaitu al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qias. Tertib dan susunan ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Muadz ibnu Jabal RA ketika beliau diutuskan oleh Rasulullah SAW ke Yaman, Rasulullah SAW mengemukakan soalan dengan sabdanya: “Bagaimana kamu jika dihadapkan permasalahan hukum? Dia berkata: “Saya berhukum dengan kitab Allah”. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Jika tidak terdapat dalam kitab Allah?”, dia menjawab: “Saya berhukum dengan sunnah Rasulullah SAW“. Kemudian Rasulullah bersabda: “Jika tidak terdapat dalam sunnah Rasullullah SAW?” Dia menjawab: “Saya akan berijtihad dan tidak berlebih (dalam ijtihad).” Maka Rasullullah SAW menepuk ke dada Muadz dan bersabda: “Segala puji bagi Allah yang telah sepakat dengan utusannya (Muadz) dengan apa yang diredai Rasulullah SAW.“(Riwayat at-Thabrani).
Percayalah dengan memahami sumber-sumber yang disepakati oleh ulama yang menjadi rujukan sumber perundangan dalam Islam ianya pasti dapat menjamin masyarakat daripada terkeliru ataupun dikelirukan. Janganlah kita mudah percaya sesuatu pandangan ataupun hujah tertentu yang hanya dikeluarkan berdasarkan emosi dan kepentingan peribadi semata-mata. Rujuklah dahulu daripada sumber yang jelas dan sahih. Malah dengan berpegang hanya kepada sumber yang diiktiraf oleh syarak dapat menyatukan ummah dan seterusnya menjamin ummah daripada berpecah belah. Mimbar ingin menyatakan adalah menjadi kewajipan kepada setiap umat Islam mempercayai, menerima dan mematuhi setiap apa juga perintah yang disampaikan oleh Rasulullah SAW kerana pertuturan yang keluar daripada Rasulullah SAW bukannya celoteh kosong, sebaliknya sebagai wahyu daripada Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah al-Najmu ayat 3 dan 4:
Maksudnya:“Dan ia tidak memperkatakan sesuatu menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu tidak lain hanyalah wahi yang diwahikan kepadanya”.
Sesungguhnya wahyu al-Quran sudah lengkap dan sempurna, namun kita sebagai umat Islam memerlukan Hadith atau Sunnah sebagai sumber perundangan untuk mengatur kehidupan. Sesungguhnya Hadith iaitu segala yang bersandarkan kepada Rasulullah SAW sama ada perkataan, perbuatan dan pengakuan memainkan peranan penting di samping al-Quran. Antara peranan tersebut ialah pertama: Sebagai penjelas apa yang terkandung di dalam al-Quran, Ketahuilah bahawa tugas Rasulullah SAW selain menyampaikan isi kandungan al-Quran, Baginda juga dipertanggungjawab untuk menerangkan dan menjelas dengan terperinci segala isi kandungan al-Quran yang meliputi segala hukum, undang undang dan sebagainya. Kedua: Memperincikan apa yang tidak diperincikan di dalam al-Quran, Sebagaimana yang kita maklum bahawa sifat al-Quran itu ringkas (Mujmal), maka peranan Sunnah itu untuk memperincikannya seperti hadith- hadith yang menjelaskan hukum sesuatu amalan, seperti sembahyang, cara melakukannya, syarat syarat serta tegahannya. Diriwayatkan daripada Imran bin Hasan yang telah bertanya kepada seseorang yang memerlukan penjelasan: Adakah tuan dapati di dalam al-Quran sembahyang zohor empat rekaat atau tentang nisab zakat dan sebagainya. Sesungguhnya al-Quran tidak menjelaskan dengan teperinci mengenai perkara perkara ini kerana sunnahlah berperanan untuk menghuraikannya. Ketiga: Membataskan apa yang tidak dibataskan di dalam al-Quran dan keempat: Menetapkan sesuatu hukum yang tidak terdapat di dalam al-Quran, yang bertepatan dengan prinsip umum yang terdapat di dalam al-Quran. Ini bermakna al-hadith merupakan sumber yang amat penting bagi umat Islam kerana kedua-duanya saling bergantungan dan tidak dapat dipisahkan sama sekali. Yakinlah bahawa Rasulullah SAW telah memberi jaminan bahawa sesiapa yang berpegang teguh kepada al-Quran dan sunnah akan terselamat daripada kesesatan. Sabda Rasulullah SAW:
Mafhumnya: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu Kitab Allah (al-Qur’an) dan Sunnah Rasul-Nya.”(Riwayat al-Malik)
Sidang Jumaat Yang Dikasihi Sekalian,
Jika dahulu, Islam di zaman Rasulullah SAW diserang daripada segenap arah, maka kita hari ini diserang dari pelbagai cara, samada daripada serangan fizikal hinggalah kepada serangan pemikiran, politik, ekonomi, budaya dan sebagainya. Isu-isu akidah yang mencemarkan nama baik Islam seperti ancaman ajaran sesat, cubaan menukar agama, anti Hadith, Islam Liberal, fahaman sekular,ideologi moden seperti kapitalisme, materialisme, pluralisme dan komunisme, syiah dan lain lain lagi yang mempengaruhi umat Islam telah melanda dengan mudahnya.
Umat Islam juga diuji dengan pelbagai dugaan dan ujian termasuklah kemunculan gejala-gejala riddah dan perbuatan-perbuatan yang secara jelas menggugat kesucian Islam. Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar bahawa gejala-gejala ini muncul akibat dari ketidakfahaman umat Islam dalam ilmu agama serta tidak mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna, di samping mudah terpengaruh momokan idea-idea orentalis yang sentiasa mencari peluang untuk merosakkan Islam. Keadaan ini juga mewujudkan golongan yang mengingkari sunnah Rasulullah SAW sebagai sumber syariat Islam sebaliknya mereka menerima al-Quran sahaja sebagai ikutan dan rujukan, sedangkan kedua duanya mempunyai hubungan yang rapat.
Sebagai umat Islam yang percaya kepada Rukun Iman yang terkandung di dalamnya beriman kepada Rasul dan Rukun Islam yang di dalamnya syahadah dengan mengiktiraf Rasulullah sebagai pesuruh Allah SWT, maka kita hendaklah menolak fahaman sedemikian kerana menolak Hadith Rasulullah SAW bererti menolak kepercayaan kepada Rasulullah. Sebagaimana kita diwajibkan mentaati Allah SWT, kita juga diwajibkan mentaati Rasulullah SAW dengan mematuhi segala yang diperintahkan oleh Baginda SAW. Mentaati Rasulullah SAW bermakna seseorang itu kasihkan Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran ayat 31:
Maksudnya:“Katakanlah jika benar kamu kasih kepada Allah SWT, maka ikutlah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa dosa kamu,dan Allah Maha pengampun lagi Maha Mengasihani.”
Justeru, sebagai umat Islam kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada terhadap segala ancaman yang boleh membawa kepada kesesatan akidah dan kecelaruan pemikiran. Ini selari dengan tujuan agama Islam itu disyariatkan iaitu untuk memelihara kesucian ajaran Islam dan menyelamatkan umatnya daripada terpesong dengan ajaran atau pemahaman yang menyalahi syariat Islamiah.
Mimbar menyeru kepada sidang jemaah dan umat Islam sekalian marilah sama sama kita berpegang teguh dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT agar kita tidak tersesat dari jalan yang diredai-Nya.Sesungguhnya akidah yang benar di sisi Allah ialah akidah di dasari dengan keyakinan dan keimanan yang mantap terhadap keEsaan dan keagungan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 85:
Maksudnya:“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari Akhirat kelak dari orang yang rugi.”
Sidang Jumaat Yang Dimuliakan,
Di dalam kita menghadapi cubaan menyogok fahaman yang merosakkan akidah umat Islam, maka mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa melalui perpaduan ummah mampu menyelesaikan kecelaruan tersebut.Percayalah bahawa Allah SWT menyatukan kita semua pada hari ini dalam akidah yang satu, di dalam saf-saf yang lurus dan seterusnya kita akan menunaikan solat dengan niat yang sama, di atas satu takbir, dan di atas satu salam, perkataan, ungkapan dan bacaan yang sama. Tariklah nafas keimanan dan sematkan di dalam hati, fikiran dan roh kita.kecintaan kepada Allah SWT, Rasulullah SAW dan agama Islam mestilah di tempat yang paling utama mengatasi kecintaan kita pada yang lain. Maka demi membuktikan cinta ini, marilah bersama-sama kita bersatu hati mempertahankan akidah ummah, mempertahankan kebenaran, menolak kebatilan, meneguhkan ukhuwah, menggerakkan segala usaha dengan penuh keyakinan demi agama yang tercinta ini. Mimbar juga menggesa pihak yang berwajib agar mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk memastikan umat Islam tidak terpengaruh dengan fahaman-fahaman yang merosakkan akidah dan pemikiran umat Islam. Usahlah dibiarkan ataupun hanya dipandang remeh kerana virus yang dibiarkan pasti akan menular dan boleh menyebabkan kemusnahan yang lebih besar. Ingatlah, perjuangan bagi mempertahankan dan menegakkan agama Allah serta kefahaman umat Islam merupakan perjuangan yang suci yang dijamin mendapat pertolongan serta bantuan daripada Allah SWT.
Justeru, menjadi tanggungjawab mimbar menyeru semua pihak, inilah masanya.kita mesti mengenepikan segala bentuk kepentingan politik mahupun kepentingan peribadi dan marilah sama-sama kita mempertahankan dan memantap akidah kita, keluarga dan masyarakat kita demi masa depan agama, ummah dan negara, menanam rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah SWT dan rasul-Nya. Percayalah al-Quran dan al-Hadith adalah dua sumber rujukan utama umat Islam yang tidak boleh dipertikaikan lagi dan mempertahankan dengan tidak membenarkan pihak lain menghinanya adalah sesuatu yang di tuntut.Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 136:
Bermaksud:“Wahai orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan kepada Kitab yang diturunkan kepada Rasul-Nya, dan Kitab-kitab Suci yang diturunkan sebelumnya. Dan sesiapa yang kufur kepada Allah, dan Malaikat-Malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya.”