Tidak pernah ada cadangan mahupun permohonan oleh mana-mana pihak untuk membina pusat perjudian atau kasino di negeri Johor.
Demikian ditegaskan Exco Agama Negeri, Abd Mutalip Abd Rahim sambil mempersoalkan punca penyebaran berita tersebut.
Berita mengenai perkara itu ditimbulkan portal pro pembangkang Malaysian Insider yang melaporkan desakan pakatan pembangkang di Johor supaya tidak membina kasino di negeri itu.
Pakatan Rakyat (PR) Johor pada Khamis mengeluarkan kenyataan mendesak kerajaan negeri memberi jaminan mengenai khabar angin yang tersebar berhubung pembinaan pusat perjudian di Johor.
Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi DAP Negeri Johor, Liew Chin Tong dan Timbalan Setiausaha Agung PKR, Steven Choong.
“Tidak pernah ada sebarang cadangan pun nak bina kasino ini. Sedangkan tidak ada pun syarikat yang memohon untuk membina pusat perjudian dekat Johor, jadi dari mana datang cerita ini?
“Mereka (pembangkang) ini sengaja nak cari isu, padahal tidak pernah ada pun, ini semua khabar angin yang tidak perlu dilayan, kami (barisan exco Johor) lebih senang buat kerja kami dan tidak menyalak tak tentu pasal, memang tidak akan ada kasino di Johor,” katanya kepada bnbbc.my.
Dalam perkembangan yang sama Mutalip menjelaskan bahawa kerajaan negeri juga sedang memantau aktiviti perjudian di sekitar Johor.
Beliau turut melahirkan rasa rasa kurang senangnya dengan pembangkang yang disifatkan ingin mencari ‘perhatian’ itu dengan membangkitkan cerita-cerita tidak benar.
Menurut beliau, pembangkang lebih gemar menimbulkan isu yang tidak wujud dan cuba berlagak ‘hero’ memperjuangkan hak rakyat.
“Saya kurang senang dengan perbuatan mereka ini, sepatutnya mereka membantu untuk berdakwah kurangkan aktiviti berjudi, bukan cari publisiti begini.
“Jangan sebab (Lim) Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang) ada cakap tidak akan benarkan pembinaan kasino di negeri dia, itu bermaknan kita di Johor benarkan, itu tidak betul.
“Saya cabar mereka di Kelantan untuk tutup pusat judi, sebab mereka di sanakan kerajaan PAS, saya tau mesti tidak boleh sebab di sana walaupun tak banyak (pusat judi), tetap ada orang Cina (yang dibenarkan berjudi),” jelasnya.
Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah menafikan khabar angin ini yang tersebar luas di internet dan menyifatkannya sebagai satu ‘penulisan yang nakal’.
Ini ekoran wujud dakwaan kononnya pusat perjudian akan dibuka di sebuah hotel mewah di bandar raya Johor Bahru seperti disiarkan di dalam sebuah laman blog sehingga tulisan terbabit menjadi perhatian ramai.