Ahli Parlimen PKR Subang, R Sivarasa mengesahkan bahawa juruterbang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah adalah ahli seumur hidup parti itu.
Zaharie mendaftar sebagai ahli PKR Cabang Subang sejak 23 Januari tahun lalu.
Dalam sidang media pada Ahad, Sivarasa memberitahu, Zaharie turut membantu PKR dalam pilihan raya umum lalu.
Bagaimanapun, beliau menafikan laporan akhbar Britain, The Daily Mail yang antara lain menyatakan Zaharie adalah ‘fanatik politik’ yang menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Laporan itu turut mendakwa Zaharie, 53, menghadiri kes Anwar pada Jumaat minggu lalu sebelum sebelum penerbangan MH370 pada 12.40 tengah malam Sabtu lalu.
Sivarasa bagaimanapun menjelaskan bahawa Zaharie tidak berada di mahkamah ketika keputusan Mahkamah Rayuan itu diumumkan.
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua mendakwa, Daily Mail melaporkan kemungkinan teori pesawat tersebut dirampas sebagai protes terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mensabitkan Anwar bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.
Katanya, Zaharie bukan seorang aktivis sosial yang lantang sebaliknya hanya penyokong dan anggota parti.
“Saya sahkan dia ahli PKR dan sertai parti pada 23 Januari 2013 tapi tak relevan untuk tuduh kehilangan pesawat ini berkaitan dengan PKR,” katanya dalam sidang media di bilik gerakan utama PKR, di Kajang.
Menurut akhbar tabloid akhbar Britain itu, beberapa jam sebelum berlepas dengan pesawat Boeing 777-200ER untuk ke Beijing, Kapten Zaharie telah hadir ke mahkamah pada 7 Mac lalu untuk menyatakan sokongan terhadap Anwar.
Mengulas perkara sama, Tian Chua menegaskan, kehilangan pesawat ini tidak ada kena mengena dengan PKR dan tuduhan ini tidak relevan.
“Ini adalah satu kes membabitkan keselamatan pesawat dan tanggungjawab MAS dan pihak berkuasa.
“Isu keselamatan tidak wajar dikaitkan bermotif politik. Jangan main sentimen seumpama ini kerana menyinggung dan menjejas imej negara dalam perspektif antarabangsa,” katanya.
Polis sudahpun dua kali melakukan pemeriksaan di rumah juruterbang itu di Shah Alam bagi mendapatkan maklumat untuk membantu mengesan MH370 yang masih belum ditemui sejak hilang Sabtu minggu lalu.