Polis akan cuba melengkapkan kertas siasatan Selasa bagi membolehkan proses pendakwaan dijalankan terhadap pemilik sebuah akaun Facebook yang didakwa menyebarkan gambar mayat yang dipalsukan dengan wajah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh berkata suspek berumur 25 tahun itu kini ditahan reman selama tiga hari sejak semalam.
“Esok hari akhir, kita tengok dulu sama ada kita nak reman atau terus dakwa. Kita sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia untuk melihat tentang beberapa barang kes yang kita rampas.
“Siasatan sedang berjalan sekarang. Kita tengok apa yang berlaku esok. Kita akan cuba siapkan kertas siasatan esok, seterusnya kita akan terus tuduh dia,” katanya.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan yang melibatkan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam.