TELUK INTAN: Barisan Nasional (BN) menamakan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong sebagai calon yang akan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, 31 Mei ini.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan perkara tersebut berkata bekas ahli Parlimen Teluk Intan itu adalah pilihan yang sesuai kerana telah lama berkecimpung dalam politik dan mengenali hati pengundi di kawasan itu.
“Walaupun pada pilihan raya (umum) lepas beliau mengalami kekalahan, (dan) saya fikir ini adalah kebangkitan semula parti Gerakan,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan calon BN serta melancarkan jentera BN bagi PRK Parlimen Teluk Intan di sini, Sabtu.
Mah, anak jati Teluk Intan pernah menjadi Ahli Parlimen Teluk Intan pada Pilihan Raya Umum 1999 dan 2004.
Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu adalah lulusan ijazah sarjana muda sains dari London School of Economic dan sarjana dalam bidang pembuatan dari City University London, serta ijazah perundangan (LLB) dengan kepujian dari University of East, London.
PRK Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, akibat kanser pada 1 Mei lepas.
Muhyiddin berharap lebih 60,000 pengundi di Parlimen Teluk Intan akan memberi peluang kepada Mah untuk menjadi wakil mereka kerana beliau adalah calon tempatan yang dikenali dan mengetahui isu dan permasalahan penduduk kawasan itu.
“Kita percaya di peringkat negeri di bawah pimpinan Menteri Besar (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) adalah lebih mudah jika wakil rakyat daripada BN.
“(Jika) Mah di peringkat Parlimen, hubungan dengan kerajaan pusat akan akrab, ini akan memberi kelebihan kepada beliau untuk atasi masalah penduduk di sini,” katanya.
Ditanya mengenai peluang BN merampas kerusi Parlimen Teluk Intan daripada DAP yang menang dengan majoriti 7,313 undi pada Pilihan Raya Umum 2013, Muhyiddin berkata: “Saya rasa kalau semua anggota BN bergerak untuk menemui setiap pengundi, kita yakin boleh mencapai kemenangan.”
Beliau berkata BN mengetahui kekuatan serta kelemahan di setiap pusat daerah mengundi berdasarkan keputusan pilihan raya umum lepas.
“Kita letakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) iaitu sasaran realistik supaya jentera parti yang bergerak di setiap peringkat tahu apa matlamatnya dan berapa ramai pengundi harus mereka dapatkan di kawasan itu,” katanya.
Ditanya mengenai sokongan pengundi Cina, Muhyiddin berkata BN berharap akan berlaku berubahan yang ketara seperti PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.
“(Di DUN Kajang) sudah ada anjakan positif dari sokongan masyarakat Cina kepada kepimpinan MCA yang baharu di bawah Liow (Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai), saya jangka hal yang sama akan berlaku di sini, walaupun tahu itu satu cabaran,” katanya.
Berhubung DAP yang meletakkan calon wanita, Dyana Sofya Mohd Daud pada PRK Teluk Intan, Muhyiddin berkata: “Saya tidak mahu perkecilkan calon mereka. Nanti ada pihak kata kita menidakkan kaum wanita,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata PRK ini sekali lagi akan menjadi platform pembangkang untuk membuat tohmahan termasuk membangkitkan isu seperti ekonomi, kos sara hidup dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP).
Muhyiddin berkata semua perkara yang akan dibangkitkan oleh pembangkang akan dijelaskan secara terperinci kepada rakyat supaya mereka tidak terpedaya dengan helah pembangkang.
Beliau berharap dalam tempoh yang singkat ini, jentera BN dapat bergerak sepanjang masa bagi memastikan kemenangan calon yang dipilih.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Seah, 48, menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi.
Penamaan calon bagi PRK Parlimen Teluk Intan ditetapkan pada 19 Mei ini dengan disusuli pengundian awal pada 27 Mei serta hari pengundian 31 Mei.