Seluruh kepimpinan PKR perlu meletak jawatan kerana mereka tidak dapat menyelesaikan masalah dalaman parti, kata bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Seri Mohammad Fairus Khairuddin.
Beliau berkata penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan tertinggi, bersama-sama dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, semuanya harus mengundurkan diri.
Beliau berkata, jika terdapat langkah dalam PKR untuk memberi tekanan kepada Khalid supaya meletak jawatan kerana didakwa gagal menangani isu-isu negeri, kepimpinan tertinggi juga harus bertanggungjawab terhadap masalah dalaman parti.
Mohammad Fairus mendakwa masalah-masalah dalaman ini adalah lebih buruk daripada masalah dalam pentadbiran negeri Selangor.
“Kita harus ingat bahawa Anwar bukan sahaja penasihat PKR tetapi juga penasihat ekonomi negeri ini,” katanya dalam temu bual dengan Umno-online, Isnin.
“Jika Khalid terpaksa meletak jawatan, bagaimana pula Anwar?.”
Sebelum ini dilaporkan bahawa Khalid telah menafikan mesej teks yang tersebar, yang mendakwa beliau akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.
Mohammad Fairus berkata adalah tidak adil untuk ‘menghukum’ Khalid semata-mata.
“Pemimpin pembangkang juga telah gagal untuk membendung masalah yang melanda parti itu,” kata Mohammad Fairus.
“Lihatlah kepada pilihan raya parti yang huru-hara dan bermasalah – dan perkara itu telah berlaku sebelum ini,” katanya.
“Malangnya, keadaan menjadi lebih buruk apabila ahlinya mengheret parti ke mahkamah,” katanya.
“Siapakah yang boleh bertanggungjawab sepenuhnya untuk masalah-masalah ini?”.
Spekulasi mengenai jawatan Khalid akan digantikan mula diperkatakan apabila PKR cuba memperkenalkan “langkah Kajang”.
Ia bertujuan untuk menaikkan Anwar sebagai Anggota Dewan Undangan (Adun) di Selangor, untuk menjadi Menteri Besar, dengan memaksa pilihan raya diadakan pada bulan Mac.
Sejak itu, Khalid telah menjadi sasaran serangan dalaman parti dan juga dari pemimpin komponen Pakatan Rakyat berkaitan pengendalian beliau dalam beberapa isu, termasuk isu air dan tol lebuhraya di negeri ini.
Malah beberapa pemimpin PKR secara terbuka meminta Khalid mengosongkan jawatannya selepas beliau gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Kuala Selangor dalam pemilihan parti baru-baru ini.