“Rasa macam nak beli semua, nak makan semua.” Ungkapan lazim bagi sesetengah yang berpuasa terutama kalau melangkah ke pasar atau bazar Ramadan.
Kalau ikut tekak, memang semua nak makan dan tidaklah susah hendak mencari makanan atau juadah pada bulan Ramadan.
Di penjuru jalan, di bahu jalan, di kaki lima, mana ada sahaja kawasan lapang, pasti ada gerai menjual makanan dan minuman.
Ini tidak termasuk kawasan yang sudah dikhaskan sebagai pasar atau bazar Ramadan.
PELBAGAI JENIS
Juadah pelbagai selera, dari utara hingga ke selatan, pantai barat ke pantai timur hingga ke seberang sempadan hingga Asia Barat, semuanya ada.
Penulis yang berkunjung ke satu pasar Ramadan mendapati orang masih berpusu-pusu untuk mendapatkan juadah berbuka puasa meskipun jarum jam sudah menunjukkan hampir pukul 6.30 petang.
Deretan gerai di kiri dan kanan. Peniaga-peniaga saling berteriakan, memanggil pelanggan.
Penulis terpandang gerai tertera tulisan “Murtabak Singapura”, beratur orang yang hendak membelinya, harga daripada yang kecil RM5.00 sehingga istimewa RM12.00.
Banyaknya makanan dan pencuci mulut serta minuman sejuk. Antaranya kebab leleh, tortilla, laksa, nasi rempah Morocco, putu piring, nasi ayam, roti boom, ayam percik, roti John, kuih bakar dan cendol.
Harga makanan, ada yang lebih tinggi daripada biasa. Di gerai menjual popia basah, segulung harganya 80 sen, rupanya tidak jauh berbeza daripada yang penulis pernah beli di pasar tani dengan harganya 50 sen!
IKUT NAFSU
Kalau berkunjung ke pasar atau bazar Ramadan, nafsu hendak makan itu dan ini meluap berkali ganda.
Ikutkan tekak, semua mahu dibeli dan pulang nanti pasti penuh tangan kiri dan kanan menjinjing bungkusan plastik.
Cuma acap kali berlaku, bila perut sudah kenyang, mulalah mulut berkata makanan yang dibeli tak sesedap masakan sendiri atau masakan ibu.
Akhir cerita, kebanyakan makanan berakhir di tong sampah, beruntunglah lalat, kucing dan tikus.
Begitu juga kalau mereka yang ingin bertukar selera dan dompet masih berisi. Banyak hotel menyediakan bufet atau iftar Ramadan yang menawarkan beraneka makanan sehingga ada yang menyediakan lebih 100 jenis.
Lazimnya iklan bufet atau iftar Ramadan ini disertakan dengan gambar-gambar antara juadah yang dihidangkan dan tukang masak yang menyediakan makanan.
Memang berselera melihat menu yang disenaraikan seperti sate, rendang minang, gulai kawah, pelbagai jenis laksa, kari kepala ikan, ayam kerutup, kambing kuzi, tom yam, bubur lambuk dan pelbagai lagi.
PENTINGKAN HALAL
Ada juga hotel menawarkan juadah mengikut selera kaum Melayu, Cina dan India. Hidangan India umpamanya pelbagai termasuk roti naan, paratha, capati dan poori.
Kos bufet untuk seorang dewasa pula boleh mencecah ratusan ringgit dan untuk kanak-kanak ada yang sehingga RM90. Bukan main mahal kalau hendak difikirkan dan berapa banyaklah yang kita boleh makan semasa berbuka puasa!
Cuma mereka yang mahu berbuka puasa di premis sebegini semak-semaklah dulu status halal juadah yang dihidangkan.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) baru-baru ini menyerbu sebuah restoran di Kuala Lumpur yang menawarkan bufet Ramadan tanpa mempunyai pengiktirafan sijil halal dan turut menjual arak.
Serbuan ini turut disertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
HADKAN BELANJA
“Membazar jangan sampai membazir. Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan”.
Ini pesan Imam muda Hassan Adli ketika ditanya penulis akan sikap sesetengah umat Islam yang berlebih-lebihan apabila iftar atau berbuka puasa.
Beliau adalah juara program Imam Muda dua yang dianjurkan saluran televisyen Astro Oasis.
Imam muda Hassan ada panduan untuk mereka yang mahu ke pasar atau bazar Ramadan.
“Bila nak berbuka puasa, memang nafsu makan tu tinggi dan kemuncaknya waktu petang bila berkunjung ke bazar atau pasar Ramadan. Memang waktu itu ujian besar.
“Saya sering pesan kepada kawan-kawan bila pergi ke bazar Ramadan, hadkan duit yang hendak dibawa. Memang mula-mula katakan tak nak beli tapi kalau dah pergi, beli juga. Oleh itu, hadkan, katakan bawa RM10.00 sahaja”, katanya.
Menurut Imam Muda Hassan, mereka yang pergi ke bazar Ramadan juga sebenarnya boleh beribadah.
“Kita kena tahu matlamat kita ke bazar Ramadan. Contoh, bila kita beli makanan, katakan harganya RM3.00 dan kita bayar RM5.00. Yang baki RM2 kita bagi kepada makcik yang menjual sebagai sedekah. Tak kiralah kalau dia taukeh kuih. Yang penting kita latih diri kita bersedekah.
“Kita juga beli kerana kita mahu memberikan makanan itu sebagai sedekah kepada orang lain atau kita ke sana untuk melihat cara orang berniaga. Tengok cara orang membeli untuk muhasabah atau menilai diri kita”, jelasnya.
PANDANGAN LAIN
Beliau juga berpendapat tidak salah sekiranya seseorang itu mahu beriftar di hotel atas tujuan untuk meraikan anak yatim atau seorang ketua mahu menjamu kakitangannya untuk mengeratkan silaturahim.
Bagaimanapun, katanya, perkara penting yang perlu diambil kira ialah premis berkenaan ada menyediakan kemudahan untuk bersolat termasuk solat tarawih.
“Ini penting kerana jelas niat kita bukan untuk makan semata-mata”, tambah Imam muda Hassan.
Beliau turut berpandangan umat Islam, jika mahu membuat persiapan hari raya, seelok-eloknya berbuat demikian sebelum masuk bulan Ramadan supaya boleh memberi tumpuan kepada ibadat pada bulan yang mulia itu.
“Dalam masyarakat kita, ramai yang tahu tapi tak sedar. Contoh solat tarawih itu penting tapi ramai ambil mudah.
“Kalaulah juga mereka tahu kehebatan dan keistimewaan bulan Ramadan nescaya mereka mengharapkan, mengimpikan agar Ramadan itu berlaku sepanjang tahun. Ini hadis Nabi,” kata Imam Muda Hassan.
Dalam hal ini, beliau berkata, televisyen boleh memainkan peranan dengan menyiarkan program termasuk ceramah yang menekankan kepentingan Ramadan sebulan atau dua bulan sebelum kedatangan bulan mulia itu.