KIEV – Pemberontak Ukraine mengambil semua mayat 196 penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditemui pasukan penyelamat di kawasan kejadian dan dibawa ke lokasi yang tidak diketahui.
Beg Mayat Tanpa Diketahui Bilangannya Telah Dialihkan – CNN
Soalan yang kekal tidak terjawab adalah bilangan mayat-mayat yang ditemui selepas pesawat Malaysia Airlines, penerbangan MH17 ditembak jatuh dan terhempas atau di mana mereka telah dibawa, dan siapa yang mengalihkan mayat-mayat di sana.
Jurucakap bagi Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE), Michael Bociurkiw memberitahu CNN bahawa kumpulan itu pergi ke lokasi kemalangan di bahagian terpencil di timur Ukraine pada Sabtu dan melihat petugas-petugas mengalihkan mayat-mayat yang tidak diketahui bilangannya.
Bociurkiw berkata adalah sukar untuk mendapatkan maklumat yang boleh dipercayai kerana beberapa kumpulan pemisah pro-Rusia yang sebahagian daripada mereka bertopeng mengawal kawasan itu, katanya.
“Tetapi di situ tidak nampak seperti hanya seorang komander yang bertanggungjawab,” katanya.
Tiga penyiasat nahas udara dari Ukraine menemani pemantau OSCE tetapi tidak mempunyai banyak masa untuk melakukan kerja-kerja mereka, katanya.
“Mereka memerlukan masa yang lebih banyak dan akses yang lebih bebas,” kata Bociurkiw.
Bociurkiw memberitahu Pusat Media Krisis Ukraine pada Sabtu bahawa OSCE telah melihat ramai petugas keselamatan dilengkapi senjata di lokasi kemalangan.
“Tujuan utama kami adalah untuk mengumpul fakta-fakta untuk dikongsikan dengan negara-negara yang turut serta dalam OSCE dan melaporkannya kepada media. Kami meninjau keselamatan perimeter lokasi kemalangan, keadaan dan status runtuhan, mayat-mayat dan barangan peribadi, “katanya.
Lebih banyak kuasa-kuasa dunia kesal dengan keadaan itu dan meminta Presiden Rusia Vladimir Putin untuk menggunakan pengaruhnya ke atas puak pemisah.
“Semalam (Jumaat), pemantau (OSCE) hanya dibenarkan masuk selama 75 minit ke kawasan itu,” kata Jabatan Negara Amerika Syarikat dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam Sabtu.
“Hari ini, mereka dibenarkan kurang daripada tiga jam.
“Kawasan ini tidak dikawal dengan selamat, dan terdapat beberapa laporan mayat-mayat yang keluarkan, bahagian-bahagian kapal terbang dan serpihan lain diheret dari sini, dan bukti ia berpotensi diganggu. Ini tidak boleh diterima dan satu penghinaan kepada semua mereka yang kehilangan orang tersayang dan kepada maruah mangsa.”
Perdana Menteri Britain, David Cameron menulis di Sunday Times menggesa Putin tidak kira dengan cara apa memudahkan akses ke lokasi nahas dan menenangkan persengketaan antara Ukraine dan puak pemisah.
Canselor Jerman Angela Merkel dan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte juga bersuara.
“Saya mahu melihat hasil dalam bentuk akses tanpa halangan dan pemulihan segera,” kata Rutte pada taklimat akhbar.