Pasukan penyiasat antarabangsa memasuki lokasi nahas MH17 di sebuah ladang berhampiran Hrabove, Ukraine dengan berhati-hati.
Ia bagi mencari lebih banyak mayat mangsa yang berselerakan setelah jatuh dari pesawat berkenaan yang ditembak oleh peluru berpandu.
Sebelum tiba di lokasi, timbul kesangsian berhubung sama ada bahan bukti telah dialihkan.
Terbaharu, kerajaan Ukraine berkata, puak pemisah pro-Rusia menemui 38 lagi mayat dan membawanya ke Donetsk.
Setakat ini lebih 181 mayat sudah ditemui.
Pemisah juga didakwa sedang berusaha membawa kenderaan yang lebih berat bagi membawa bangkai pesawat ke Rusia.
Kiev menuduh Moscow dan pemberontak menghapuskan bahan bukti bagi menutup kesalahan mereka.
Di Washington, Setiausaha Negara Amerika Syarikat menghubungi Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov dan menekankan bahawa penyiasat perlu mendapat akses penuh ke lokasi.
Beliau turut bimbang dengan laporan yang mengatakan serpihan pesawat sudah dialih atau diusik.