Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan mengusulkan undi tidak percaya terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menyelesaikan kemelut jawatan Menteri Besar Selangor.
Bagaimanapun, menurutnya mengadakan pilihan raya bukan pilihan untuk menyelesaikan krisis itu berikutan keengganan Abdul Khalid melepaskan jawatan berkenaan.
“Kita yakin isu Menteri Besar Selangor akan diselesaikan dengan baik sesuai dengan semangat pakatan pembangkang, sama ada melalui proses peralihan yang lancar, undi tidak percaya mahupun pilihan raya.
“Namun begitu, tiada sebarang keperluan untuk mengadakan pilihan raya kerana Barisan Nasional (BN) hanya ada 12 kerusi di kalangan 56 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tahun lalu,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.