Lebih 40 pelajar perempuan Sekolah Menengah Sultanah Bahiyah, Alor Setar, terpaksa dikejarkan ke hospital, dipercayai akibat keracunan.
Pelajar tingkatan 1 hingga 5 yang tinggal di asrama sekolah itu, didakwa mengalami sakit perut dan muntah, selepas meminum air kotak yang diberi percuma, kira-kira jam enam petang semalam.
Pada jam 8.45 malam tadi, beberapa pelajar mula mengadu simpton keracunan makanan.
15 pelajar dibawa oleh guru ke Hospital Sultanah Bahiyah, HSB, kira-kira jam 9.30 malam, untuk rawatan lanjut.
Ambulan terpaksa digerakkan untuk mengambil lebih ramai lagi pelajar yang mengadu perkara sama.
Menurut pengarah Hospital Sultanah Bahiyah, Datuk Doktor Juita Ghazalie, ketika dihubungi berkata kesemua pelajar itu terpaksa ditahan sementara sehingga keadaan mereka pulih.
Pihak hospital telah mengambil keterangan semua pelajar terbabit, dan mengambil sempel air minuman itu untuk dilakukan pemeriksaan.