Setelah enam tahun mengadakan tahaluf siyasi bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), untungkah PAS untuk terus menjalin hubungan kerjasama politik dengan sekutunya?
Apakah laba kerjasama politik yang diperoleh PAS untuk memperkukuhkan parti dan terus kekal relevan sebagai parti yang memperjuangkan Islam?
Persoalan berkenaan menarik perhatian umum khususnya penyokong parti yang kian resah ekoran pergeseran kuat yang melanda antara ketiga-tiga parti mutakhir ini, yang memperlihatkan seolah-olah PAS semakin ‘lemas’ dihimpit DAP dan PKR.
Banyak pihak melihat kerjasama politik yang dimulakan sejak 2008 itu mungkin hampir ke penghujungnya setelah umum disajikan episod demi episod percakaran dan ketidaksefahaman antara ketiga-tiga parti.
DI MANA TITIK KEBERSAMAAN TAHALUF SIYASI?
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada muktamar parti ke-60 di Johor bulan lepas dilapor berkata bahawa tahaluf siyasi yang dilaksanakan parti itu adalah kerjasama mencari titik kebersamaan dengan PKR dan DAP.
Persoalannya, setelah enam tahun mengadakan tahaluf siyasi, di manakah titik persamaan PAS, PKR dan DAP?
Penganalisis politik Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata ketiga-tiga parti itu jelas tidak mempunyai kebersamaan dalam pelbagai aspek termasuk ideologi, dasar dan keputusan.
“Kebersamaan itu hanya dapat dilihat menjelang pilihan raya iaitu untuk menjatuhkan Barisan Nasional. Yang lain saya tidak nampak,” katanya kepada Bernama di sini.
Jika benar PAS, DAP dan PKR mencapai kesepaduan, tidak mungkin dalam kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor, ketiga-tiga parti itu mempunyai nada berbeza dalam menentukan calon pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Bahkan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 juga tidak mungkin mereka bertembung sesama sendiri di beberapa kawasan, jika saling memahami.
Ahmad Atory menempelak bahawa ucapan pemimpin parti pakatan kononnya mereka mempunyai kesefahaman yang baik dalam pelbagai perkara kerana ia hanyalah retorik politik yang bertujuan meraih kepercayaan pengundi mereka.
Mengambil contoh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor, Kelantan, beliau berkata sokongan jentera PKR dan DAP tidak kelihatan sepanjang kempen berlangsung dan ia didorong oleh sentimen PAS yang tidak menyokong keputusan PKR dan DAP mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor.
“Ini tidak menunjukkan kebersamaan mereka,” kata pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM).
TAHALUF SIYASI DIKAJI SEMULA
Permintaan untuk mengkaji semula tahaluf siyasi PAS bersama PKR dan DAP bukanlah isu baharu kerana ia telah lama disuarakan bukan sahaja akar umbi, malah oleh pemimpin parti itu sendiri.
Dalam muktamar tahun lepas, Ketua Dewan Ulama PAS Allahyarham Datuk Harun Taib menegaskan bahawa konsep tahaluf siyasi antara PAS, DAP dan PKR akan disemak dari semasa ke semasa.
Tahun ini, isyarat serupa dinyatakan Timbalan Mursyidul Am Datuk Dr Haron Din yang menggesa Dewan Ulama mengkaji semula tahaluf siyasi dengan parti pakatan terutama dalam menghadapi situasi politik masa kini.
Pada 20 Sept lepas, Abdul Hadi sendiri dilapor membidas rakan tahaluf siyasi PAS, yang disifatkannya sebagai tidak beretika kerana ‘mencuri’ dua wakil rakyat parti berkenaan untuk menyokong tindakan mereka untuk mendesak Abdul Khalid meletak jawatan dalam isu pertukaran Menteri Besar Selangor.
“Walaupun kita bertahaluf siyasi dengan rakan-rakan kita (PKR dan DAP) tetapi mereka bersikap tidak beretika kerana mencuri dua wakil rakyat kita. Adakah itu etika tahaluf siyasi?,” Abdul Hadi dipetik sebagai berkata.
Ahmad Atory berpendapat bahawa Anggota Parlimen Marang itu tahu mengenai keretakan yang berlaku di dalam partinya ekoran tahaluf siyasi, namun bertindak mendiamkan diri.
“Sebagai seorang panglima perang, sudah tentu dia (Abdul Hadi) akan bercakap bahawa beliau ada tentera yang kuat dan mahukan kemenangan, meskipun di belakangnya ramai askar telah gugur.
“Saya nampak PAS sahaja yang benar-benar mengikuti dan berpegang kepada prinsip tahaluf siyasi manakala dua lagi parti tidak,” katanya.
TIDAK KELUAR PAKATAN
Meskipun berasa tidak puas hati dengan apa yang berlaku, PAS masih akur dan tidak mampu berbuat apa-apa untuk keluar daripada pakatan politik yang longgar itu, bagi bersendirian dan mengekalkan asas perjuangannya.
Ini menjadikan parti itu menjadi mangsa buli PKR dan DAP, seperti yang diakui Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz pada 29 Sept.
Biarpun PAS menegaskan akan kekal bersama Pakatan Rakyat, namun parti itu tetap dibuli oleh rakan-rakan dalam gabungan, kata Nik Abduh.
Bagaimanapun, Ahmad Atory percaya bahawa kenyataan yang mengguris rasa ini tidak akan menyebabkan PAS merajuk dan keluar daripada parti pakatan.
“Contohnya penggurangan kerusi Exco (dalam kerajaan negeri Selangor) kepada PAS daripada empat kepada tiga, darjah kemarahan PAS itu tetap ada tetapi ia tidak menyebabkan PAS keluar daripada pakatan,” katanya.
Beliau berkata PAS memerlukan PKR dan DAP bagi meningkatkan sokongan rakyat kepada parti itu khususnya di kalangan kaum Cina dan India.
“PAS hanya boleh mendominasi sokongan orang Melayu sahaja sebelum ini dan kini parti itu berusaha mendapat sokongan daripada kaum Cina dan India serta meluaskan lagi jajahan mereka.
“PAS sedar bahawa mengharapkan sokongan orang Melayu sahaja tidak membolehkan parti itu menang di negeri lain kecuali Kelantan di mana di negeri itu, tanpa PKR dan DAP pun, PAS masih boleh menang,” katanya.