Seorang anggota tentera maut setelah motosikal berkuasa tinggi ditungganginya terbabas dan melanggar dua motosikal.
Mangsa maut di tempat kejadian, manakala dua lagi penunggang cedera.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 11.45 malam tadi di Kilometer 4.4 Lebuhraya Besraya Arah Kuala Lumpur sebelum Plaza Tol Mines, Seri Kembangan.
Siasatan awal polis mendapati motosikal jenis Kawasaki ini dipercayai hilang kawalan menyebabkan ia terbabas ke kiri lebuhraya.
Motosikal kemudian bergesel dengan sebuah motosikal di hadapannya.
Mangsa, Koperal Md Syful Nizam Hashim, 32 tahun, yang parah di kepala maut di tempat kejadian.
Md Syful anggota tentera di Kem Sungei Besi, dikatakan baru dua hari membeli motosikal berkuasa tinggi ini.
Sementara itu seorang lagi mangsa, Mohamad Azrul Osman, 30 tahun, yang dalam perjalanan pulang dari Putrajaya ke Petaling Jaya, cedera setelah tercampak beberapa meter.
Saksi kejadian diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan.