Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima tamparan hebat daripada sekutu politiknya apabila Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak muncul pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di bangunan Parlimen pada Isnin yang diadakan bagi meraih sokongan berhubung kes liwat pada Selasa dan Rabu.
Ketiadaan Abdul Hadi dalam mesyuarat penting sehari sebelum pendengaran terakhir rayuan Anwar berhubung kes liwat keduanya menimbulkan pelbagai tanda tanya daripada pengikut politik pembangkang yang selama ini merasakan pemimpin mereka bersatu.
Walaupun ini bukan kali pertama Abdul Hadi tidak melibatkan diri dalam mesyuarat yang dipengerusikan Anwar, namun ketiadaannya pada kali ini dilihat janggal terutama di saat Ketua Pembangkang itu mungkin berhadapan hukuman penjara jika gagal dalam proses rayuannya.
Seakan menutup perselisihan antara beliau dan Presiden PAS itu, Anwar pada permulaan sidang medianya lebih awal menyatakan bahawa Abdul Hadi tidak dapat hadir kerana mempunyai komitmen lain di Terengganu.
Seperti biasa, pada mesyuarat itu Abdul Hadi diwakili Timbalannya, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Al; Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta beberapa pemimpin PAS lain.
Pada Selasa dan Rabu ini, Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan terakhir Anwar berhubung kes liwat keduaanya.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh sebelum ini disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara yang dikenakan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu selepas mendapatinya bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Anwar, 67, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.