Pendengaran rayuan terakhir kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan besar akan dilanjutkan sehingga Khamis.
Ini berbeza dengan ketetapan asal untuk pendengaran rayuan tersebut selama dua hari iaitu pada Selasa dan Rabu.
Perkara ini diberitahu sendiri oleh Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen yang mengikuti pendengaran kes pada Selasa dan meminta supaya penyokong-penyokong Anwar tidak cepat berputus asa.
“Ada kemungkinan dan cakap-cakap awal kes ini akan berlanjutan sehingga Khamis.
“Jangan cepat mengalah dan yang paling penting ada masa yang cukup untuk pastikan peguambela dapat meneruskan hujah bagi menunjukkan keadilan dapat ditegakkan di mahkamah,” katanya kepada pemberita ketika sesi pendengaran rayuan kes liwat Anwar berhenti rehat.
Turut memaklumkan perkara yang sama ialah Ahli Parlimen Kapar Manivanan Gowin yang menyampaikan pesanan bagi pihak Anwar.
“Datuk Seri Anwar sendiri berpesan kepada saya supaya bersedia mungkin kes akan sampai hari Khamis.
“Dia minta semua bersabar, teruskan perjuangan sebab ini bukan keadilan untuk beliau tapi untuk setiap rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata pada Selasa Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai barisan peguam Anwar sedang memberikan hujah-hujahnya.
Katanya, terdapat beberapa lagi peguam Anwar yang akan mengetengahkan hujah dan mematahkan hujah pihak lawan.
“Ia mungkin menjadikan kes ini dibawa sehingga Khamis,” katanya.
Hujah pasukan pembelaan bukan sesuatu yang diluar jangkaan dan pasukan pendakwaan bersedia menangkis segala hujah berkenaan.
Keyakinan itu disuarakan ketua pasukan pendakwaan dalam rayuan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, siang tadi.
Berdasarkan pelbagai perkara yang dibangkitkan pasukan pembelaan, prosiding dijangka berlanjutan sehingga Jumaat ini.
Tambah beliau, memandangkan ini peluang terakhir untuk mengetepikan hukuman berkenaan, pasukan pembelaan katanya akan membangkitkan pelbagai perkara termasuk yang tidak dibangkitkan ketika kes dibicarakan di Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Pihaknya juga menjangkakan prosiding akan berlarutan untuk beberapa hari lagi berbanding jadual asal hanya dua hari ditetapkan.
Sebaik selesai kedua-dua pihak berhujah, mahkamah katanya dijangka menetapkan satu tarikh dalam tempoh terdekat untuk menetapkan keputusan.