SUNGAI PETANI: Mayat seorang guru wanita yang lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Muda berdekatan Kampung Pantai Cicar, Jalan Kuala Ketil dekat sini pagi semalam, ditemui petang ini.
Mayat Siti Hajar Bakar, 48, ditemui pada 4.07 petang tadi kira-kira 1.5 kilometer dari tempat mangsa terjatuh di atas sebuah jambatan di situ.
Timbalan Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Rosdi Ismail berkata mayat mangsa ditemui setelah ia timbul ketika usaha mencari dijalankan.
“Mayatnya diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk bedah siasat,” katanya di sini, hari ini.
Lapan anggota Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat terbabit dalam operasi mencari mangsa dengan dibantu tujuh anggota Balai Bomba Sungai Petani.
Turut membantu dalam operasi itu anggota polis, RELA, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, penduduk kampung dan keluarga mangsa.
Bomba menggunakan bot sepanjang operasi itu berikutan keadaan Sungai Muda yang dalam dan berarus deras.
Beberapa penduduk kampung mendakwa melihat seorang wanita mundar-mandir di atas jambatan berhampiran Kampung Pantai Cicar kira-kira 7 pagi semalam.
Siti Hajar yang tinggal di kawasan perumahan Taman Petani Jaya di sini, bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Bakar Arang di sini.
Beliau dikatakan ke kawasan itu dengan memandu keretanya yang diletakkan di tepi jalan raya berdekatan Kampung Pantai Cicar.