Reka fitnah dan sebarkan, atau dalam bahasa media baru, “viralkan”. Itu adalah antara strategi yang digunakan untuk menjejaskan nama baik syarikat-syarikat yang berpotensi dan pada masa yang sama, menakutkan pelabur di bursa saham.
Perbuatan ini mungkin dilakukan oleh seteru syarikat berkenaan dan spekulator yang memanipulasi harga saham demi keuntungan. Pembangkang pula pantang lepa, terus ambil kesempatan menjadikannya sebagai modal hentam kerajaan. Apatah lagi kalau syarikat berkenaan adalah syarikat yang berkaitan kerajaan (GLC).
Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua pada sidang media di parlimen minggu lalu sudah buat cerita kononnya Felda Global Ventures (FGV) bakal alami nasib seperti Penerbangan Malaysia (MAS) sekiranya kerajaan tak pecat pengurusan kanan dan gantikan dengan orang baru.
Dia menjadikan alasan kejatuhan harga saham FGV dan membuat perbandingan yang tidak adil dan tidak logik. Tony membandingkan FGV dengan IJM Plantations, IOI, Sime Darby dan Genting Plantations.
“Saya ingat agenda dia tidak berapa baik sangat. Sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah, saya terpanggil untuk mempertahankan FGV kerana tohmahan seperti ini akan memberikan masalah kepada pelabur,” kata Datuk Noor Ehsanuddin Harunnarashid kepada Agendadaily Rabu.
Ehsanuddin, yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, berkata tindakan Tony itu seperti membandingkan epal dengan oren, Tidak ada syarikat yang boleh dibandingkan dengan FGV. Syarikat-syarikat yang dia sebutkan bukan buat perladangan semata-mata,” tambahnya.
Menurut Ehsan, Tony mungkin tidak faham struktur FGV yang mana 75-80 peratus pendapatannya adalah daripada perladangan. Jadi apabila harga Miinyak Sawit Mentah (CPO) turun, sudah tentulah kita terkesan banyak,
“Dia buat perbandingan dengan syarikat seperti Genting dan IOI yang semua orang tahu bukan sahaja buat perladangan, tetapi juga perdagangan, hartanah, perumahan, automobil dan banyak lagi. Perbandingan itu tidak adil, tidak setara. Sime Darby pula segmen perladangannya cuma menyumbang 25 peratus daripada pendapatan keseluruhan syarikat.
“Penurunan harga CPO tidak membawa kesan yang besar kepada syarikat-syarikat berkenaan berbanding FGV kerana mereka masih boleh bergantung kepada bisnes lain.Pendapatan FGV pula semata-mata dari perladangan,” jelas Ehsanuddin.
“Keduanya sejak disenaraikan pada Jun 2012, FHGV telah mencatatkan perkembangan berterusan di segi pendapatan, keuntungan dan dividen yang dibayar kepada pemegang saham,
“Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013 FGV mencatatkan progres dengan keuntungan selepas cukai RM1.1 billion, iaitu peningkatkan 30.2 peratus daripada tahun sebelumnya. Dalam konteks ini, dasar dividen FGV adalah antara yang terbaik di negara ini,” katanya.
Menurut Ehsan, FGV sudahpun memaklumkan kepada pelabur dalam prospektusnya bahawa ia akan menjalankan program tanam semula kelapa sawit seluas 15,000 hektar setahun dalam usaha menambah produktiviti, sekaligus meningkatkan profil syarikat. Program ini dijangka siap sepenuhnya pada 2020.
Katanya menjelang 2020, pokok-pokok kelapa sawit milik syarikat-syarikat yang dibandingkan dengan FGV sudah tua dan hasilnya kurang, berbanding pokok milik FGV yang waktu itu berada di puncak pengeluaran dan harga waktu itu besar kemungkinan harganya akan lebih tinggi.
Katanya lagi, pengeluaran yang mencapai tahap kemuncak pada waktu itu disamping faktor harga akan membolehkan FGV mengatasi keuntungan syarikat-syarikat saingan yang disebutkan kerana waktu itu ladang milik mereka sudah melepasi peringkat puncak pengeluaran. Kesimpulannya, penurunan harga CPO ini mempunyai hikmah tersembunyi.
“Dulu pembangkang tuduh FELDA bankrap dan terbukti ia tak berlaku. Selepas iu dituduh kita jual pada Israel dan selepas itu minta maaf. Saya ingat ini satu lagi pemikiran negatif mereka.
“Saya difahamkan dalam manifesto Langkah Kajang mereka sebut nak serang saham-saham GLC termasuk FGV. Kita kena ingat warga FELDA miliki 20 peratus FGV. Bukan sikit-sikit tapi berjuta. Mereka buat begitu untuk mempengaruhi pelabur dan ganggu gugat pendapatan FELDA.
“Saya yakin warga FELDA pun tahu bahawa turun naik harga saham bergantung kepada pasaran, tetapi asas FGV tidak tergugat. Tony Pua kalau nak jadi pemimpin, janganlah cari jalan mudah. Janganlah cari publitisi murah dengan membuat tuduhan tak berasas. Biar pasaran tentukan harga dan akhirnya kita lihat sendiri hasilnya.
“FELDA semasa mula-mula disenarai pun ramai kata tak bagus, tapi akhirnya mereka dapat durian runtuh dan kita dapat mengembangkan syarikat. Jangan kelirukan rakyat. Dalam dewan dia kelirukan kita boleh jawab. Tapi di luar dewan susah. Kesian rakyat. Kepada warga FELDA, percayalah ini akan membawa pulangan jangka panjang yang baik.