AMPANG: Berat badan bekas vokalis Slam, Zamani Ibrahim, 44, meningkat sebanyak sembilan kilogram selepas lebih sebulan menjalani rawatan di sebuah pusat pemulihan di ibu negara.
Peguamnya, Ahmad Zaharil Muhaiyar berkata, peningkatan tersebut menunjukkan perkembangan positif terhadap tahap kesihatan penyanyi itu selepas menjalani proses pemulihan sejak akhir Januari lalu.
“Alhamdulillah, dia menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dengan kenaikan berat badan sebanyak sembilan kilogram iaitu daripada 45 kilogram kepada 54 kilogram dalam masa sebulan di pusat pemulihan itu.
“Namun ia masih di peringkat awal pemulihan, kami sedang berusaha untuk membantu dia untuk pulih sepenuhnya dan kembali kepada masyarakat dengan imej baru,” ujarnya.
Ahmad Zaharil ditemui selepas sebutan kes dadah penyanyi tersebut di Mahkamah Majistret Ampang, dekat sini, pada Isnin.
Tambahnya, Zamani masih dalam tempoh pemulihan dan mempunyai lima bulan lagi berada di pusat pemulihan sebelum bersedia bertemu masyarakat.
“Tugas dan tanggungjawab saya lebih berat kerana masyarakat tidak mahu dia dihukum, sebaliknya masyarakat mahu melihat dia pulih seperti manusia normal lain.
“Oleh itu, apa yang penting adalah melihat peningkatan kesihatan dia supaya bebas terus dari najis dadah itu,” ujarnya.
Mahkamah Majistret Ampang pada Selasa menetapkan 10 April depan bagi sebutan semula kes terhadap dua pertuduhan terhadap Zamani kerana memiliki dan mengambil dadah.
Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menetapkan tarikh itu selepas timbalan pendakwa raya, Nurdeenie Abdul Rashid memaklumkan bahawa laporan kimia tertuduh kedua-duanya masih belum diperoleh.
Pada 29 Januari lalu, Zamani dan pembantu peribadinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini terhadap pertuduhan memiliki dan mengambil dadah.
Majistret membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing sebanyak RM6,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.
Terdahulu, Zamani bersama seorang lagi individu ditahan polis kerana dipercayai memiliki dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Keramat dekat sini awal pagi 21 Januari lalu.
Penahanan penyanyi itu kemudiannya mencetuskan kontroversi susulan penyebaran video Zamani dalam keadaan tangan bergari yang dirakamkan anggota polis sambil dia diminta menyanyikan lagu Gerimis Mengundang.