Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sah dijatuhi hukuman gantung daripada beraksi selama lapan bulan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bermula 30 Ogos 2014.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memaklumkan perkara itu selepas menerima berita tersebut daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pagi Isnin.
“Keputusan kes doping melibatkan Datuk Lee Chong Wei telah diputuskan oleh BWF yang menyaksikan beliau digantung selama lapan bulan bermula tarikh ujian doping yang dilakukan ketika Kejohanan Dunia di Copenhagen 30 Ogos 2014.
“Penggantungan ini akan berakhir pada 30 April 2015,” jelasnya pada sidang media di Kementerian Belia dan Sukan, Isnin.