Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillahi Rabbil A’lamin, wa biHi nasta’in,
Sebanyak-banyak selawat dan salam kita ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Seterusnya marilah kita sama-sama mengangkat rasa syukur tidak terhingga ke hadrat Yang Maha Berkuasa atas limpahan nikmat dan kurnia kepada negara ini.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.
Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin;
Timbalan Perdana Menteri,
Yang Berhormat Menteri – menteri
Seterusnya rakyat Malaysia yang dikasihi
1. Pada malam yang berbahagia ini, dengan kehendak dan izin Allah SWT jua, kita telah sampai kepada tahun keempat siri takwim pembentangan laporan bagi Program Transformasi Kerajaan atau GTP dan Program Transformasi Ekonomi atau ETP.
2. Sesungguhnya, masa berlalu dengan begitu pantas. Pejam celik, pejam celik, Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi telah menghampiri usia 5 tahun.
3. Sehubungan itu, sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab, berakauntabiliti dan menepati janji-janjinya, saban tahun, pabila tiba sahaja masa, sekitar penghujung April seperti ini, saya selaku Ketua Kerajaan, juga bagi pihak rakan-rakan dalam Jemaah Menteri, akan tetap tampil dengan penuh bersedia, bagi mempersembahkan hasil-hasil pencapaian serta kejayaan yang ditempa secara tahunan.
4. Bak kata orang, kita bukan beromong-omong kosong, bukan pula saudagar-saudagar yang menjual mimpi, tidak juga bercakap hal yang bohong-bohongan. Pokoknya, Kerajaan yang ada pada hari ini, adalah Kerajaan berpijak di bumi yang nyata dan berpasak kepada realiti.
5. Apa yang mahu kita kongsi dan laporkan pada malam ini, adalah kisah-kisah benar pencapaian yang disokong dan diperkukuhkan melalui fakta-fakta dan kumpulan data serta nombor-nombor yang sahih.
6. Paling penting, segala yang dicatat dan dimaktubkan dalam laporan GTP ini…dan laporan ETP ini…semuanya berasaskan kepada fact and figures, yang diiktiraf oleh pelbagai pihak, sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa, khususnya diabsahkan oleh juruaudit bertauliah.
7. Ertinya, kita bukan mereka-reka segala angka dan digit, mahupun indeks kejayaan yang telah diraih, tidak pula sekali-kali, memetiknya dari awan yang sedang berarak, jauh sekali daripada langit yang sedang membiru.
Para Hadirin serta Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,
8. Saya timbulkan perkara tersebut itu kerana, mutakhir ini, Kerajaan telah diasak dan dikritik dengan pedas dan hangatnya oleh sesetengah pihak…
9. Dalam keadaan ini, kita sedar, adalah menjadi resam dan adat di dunia, bahawa, untuk memenuhi kemahuan dan kehendak setiap pihak, dalam apa jua hal dan perkara, sememangnya adalah sesuatu yang mustahil dan bukan bersifat kemanusiaan. Hanya Allah SWT sebagai Maha Pencipta dan Maha Melengkapi segalanya.
10. Seperti yang sering saya sebutkan, mana-mana negara mahupun tamadun di dunia, tidak dibina sekelip mata, atau dengan cara tidak semena-mena. Semestinya, sebuah watan yang berjaya, didirikan atas perencanaan dan perancangan sistematik pihak pentadbiran kerajaan.
11. Dari itu, amatlah mustahak, rakyat perlu tahu bahawa, sejak hampir 60 tahun selepas kita mencapai kemerdekaan, negara ini telah diterajui oleh Barisan Nasional berlandaskan pentadbiran yang cekap lagi sistematik. Ditunjang pula dengan kukuhnya, oleh para penjawat awam berasaskan wawasan bapa-bapa pimpinan tanahair sejak dari dulu.
12. Sehinggalah kini, ia terus berkesinambungan dengan matlamat akhir kita yang sama dan satu, untuk melihat Malaysia muncul sebagai negara makmur lagi sejahtera bagi diwariskan pada anak-anak cucu kelak.
Para Hadirin Sekalian,
13. Pucuk pangkalnya, kita mendengar rungutan dan kritikan serta amat mengalu-alukan pandangan juga pendapat yang diberikan oleh semua golongan, hatta rakyat terbanyak di bawah. Namun, harus barang diingat, apa jua bentuk kritikan dan saranan, perlulah bersifat membina dan tidak semberono atau main hentam melulu sahaja.
14. Kerana,…hanya dengan kritikan dan saranan-saranan yang membina, barulah kita mampu memperbetulkan, mengislah dan memperbaiki segala yang kurang dan kelemahan yang wujud di sana sini.
15. Jika tidak,…proses pembangunan negara akan menjadi terganggu,…kacau bilau,… dan boleh merumitkan keadaan, sekaligus akan mengelirukan rakyat.
Para Hadirin Sekalian,
16. Jelasnya, usaha-usaha dalam GTP dan ETP ini adalah antara bukti bahawa Kerajaan kita tidak berwenang-wenang duduk bersimpuh. Dalam bahasa mudah budak-budak muda sekarang, apa yang pentadbiran Kerajaan sedang buat kini, bukanlah sesuatu yang syok sendiri…sebaliknya, segala perencanaan ini adalah berdasarkan maklum balas dan proses merundingi pelbagai lapisan rakyat.
17. This has been the basis of my leadership. The engagement and the understanding the need of the rakyat, is paramount in guiding me to deliver the right programmes for all Malaysians.
18. Justeru, antara inisiatif utama Kerajaan sejak September 2009, ialah menubuhkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan atau ringkasnya PEMANDU, di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri.
19. Haruslah diketahui, tujuan utama dan objektif PEMANDU di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional atau DTN, adalah menyelia pelaksanaan, menilai kemajuan, memudahcara serta menyokong penyampaian dan memacu kemajuan Program Transformasi Kerajaan serta Program Transformasi Ekonomi. Ini semua dilaksanakan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara High Income Advanced Economy, menjelang fajar 2020 atau lebih awal dari itu. Insya-Allah.
20. PEMANDU diwujudkan sebagai penyelaras untuk membantu semua kementerian. Dalam kata lain, PEMANDU tidak bekerja sendirian. Akan tetapi, sebagai fasilitator atau pemudahcara dalam mengatur dan menyusun perlaksanaan program-program transformasi kerajaan, beriring dengan tanggungjawab kementerian-kementerian.
21. Ertinya, secara keseluruhan, PEMANDU ialah sebuah unit yang mengawasi KPI dan piawai kerja Menteri, Kementerian juga Agensi-Agensi Kerajaan berkaitan.
22. Untuk makluman semua, berdasarkan laporan PEMANDU inilah juga, prestasi para Menteri akan dibentangkan, dinilai dan dibuat semakan sebanyak 2 kali setahun. Ini bererti, para Menteri juga tertakluk kepada report card masing-masing sebagai penentu KPI mereka.
23. Sayugia dijelaskan bahawa, warga PEMANDU terdiri daripada gabungan bakat dan kebolehan daripada GLC, pihak swasta dan pegawai kerajaan. Hasilnya, dalam tempoh hanya lima tahun, pelaksanaan metodologi Big Fast Results di dalam GTP dan ETP oleh PEMANDU bagi mentransformasi Malaysia, turut berjaya menarik perhatian dunia.
24. Contohnya, negara Tanzania kini mengguna pakai model dan khidmat konsultansi PEMANDU dalam merencanakan agenda pembangunan di negara itu. Manakala, Negara-negara lain seperti Afrika Selatan dan India kini sedang menilai untuk juga menggunapakai khidmat PEMANDU.
25. Malah, pada tahun lepas, dua orang penyelidik Bank Dunia, iaitu Profesor Charles Sabel dan Luke Jordan menerbitkan satu kertas kajian bertajuk Doing, Learning, Being: A Study of Malaysia’s Transformation Program yang mengandungi perakuan mereka tentang keberhasilan transformasi sebenar di Malaysia.
26. Lanjutan itu, PEMANDU juga telah dipilih sebagai salah satu daripada 20 Pasukan Inovasi Kerajaan yang terbaik di peringkat antarabangsa oleh NESTA, iaitu sebuah badan inovasi di UK dan Bloomberg Philanthropies pada tahun 2014.
Para Hadirin Sekalian,
27. Berhubung pembentangan laporan GTP dan ETP pada malam ini, seperti biasa, ramai orang di luar sana bertanya, sebagai rakyat, apa kena mengena laporan ini kepada kehidupan seharian mereka?
28. Terlebih dahulu, elok saya perincikan bahawa Program Transformasi Kerajaan, telah pun melalui horizon atau batas masa pelaksanaan yang pertama, dikenali sebagai GTP 1.0 yang melewati tahun-tahun 2010 hingga 2012. Seterusnya, GTP 2.0 adalah horizon kedua semenjak 2012 sehinggalah penghujung tahun ini yakni 2015.
29. Manakala, penilaian secara menyeluruh akan dilakukan untuk menetapkan halatuju horizon GTP 3.0 dan selanjutnya, yang akan membawa kita kepada status negara maju.
30. Jadinya, jika dirumuskan, di bawah GTP, komitmen utama kerajaan adalah untuk mempastikan setiap rakyat Malaysia dapat menikmati kualiti kehidupan yang terbaik menerusi terutamanya 7 Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA.
31. Di bawah ETP pula, dalam kesalinghubungan dunia yang semakin meningkat, penting bagi kita untuk membina ekonomi yang lebih kukuh dan berdaya tahan. Ini dilaksanakan melalui 12 Bidang Ekonomi Utama Negara atau NKEA.
Para Hadirin Sekalian,
32. Meskipun pada 2014, kita telah berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi dunia, dan secara domestiknya pula kita dihadapkan dengan pelbagai tragedi yang sungguh menduga, namun, Alhamdulillah, segala pelaksanaan GTP dan ETP terus bergerak ke hadapan di atas landasan yang telah direncanakan dan sedang membuahkan hasil yang positif.
33. Syukur juga, pelbagai hasil kejayaan dan limpahan manfaat dirasai secara keseluruhannya oleh rakyat teramai. Sememangnya pun, pelaksanaan GTP dan ETP dirangka supaya bersifat inclusive atau berketerangkuman, sustainable atau mampan, dalam menuju status Negara Maju Berpendapatan Tinggi.
34. Saya tahu dan saya sedar, para hadirin dan rakyat sekalian tertanya, apakah petunjuk utama pencapaian Kerajaan selama 5 tahun ini?
35. Bagi tujuan ini, suka saya menggariskan 5 petunjuk utama pelaksanaan GTP dan ETP kepada negara dan rakyat keseluruhan, sepanjang 5 tahun ia dilaksanakan bermula 2010 hingga setakat laporan ini dikemaskini:
Pertama, pendapatan per Kapita Rakyat Malaysia telah meningkat daripada 7,059 dolar Amerika pada 2009, kepada 10,426 dolar Amerika pada 2014;
Kedua, nilai pelaburan kekal tinggi dengan pelaburan sebanyak 142 bilion ringgit pada tahun 2009 dan telah meningkat kepada 228 bilion ringgit pada 2014;
Ketiga, 1.5 juta pekerjaan baru telah diwujudkan setakat 2014 dalam sektor-sektor NKEA sejak 2010;
Keempat, Lebih 5 juta rakyat lagi di kawasan luar bandar telah mendapat manfaat kemudahan asas, seperti bekalan elektrik dan air bersih semenjak GTP dan ETP dilaksanakan; dan;
Kelima, Hampir 170 ribu golongan miskin telah berjaya dibawa keluar dari kepompong kemiskinan, susulan kenaikan jumlah pendapatan mereka dalam tempoh 5 tahun ini.
Rakyat Malaysia yang Dikasihi Sekalian,
36. Dalam pada petunjuk-petunjuk besar yang telah saya sebutkan itu, GTP dan ETP telah disokong oleh pelbagai inisiatif seperti, aktiviti pelaburan di Pengerang Integrated Complex di Johor, yang nilai pelaburannya mencecah 27 bilion dolar Amerika menjelang 2019 nanti, dan mampu menyediakan sehingga 4 ribu peluang pekerjaan kepada rakyat.
37. Tambahan lagi, inisiatif GTP dan ETP semakin dirasai kesan nikmat pembangunannya oleh saudara-saudara kita di Sabah dan Sarawak.
38. Sebagai contoh, pada 2014 sahaja, sepanjang 242 kilometer jalan telah siap dibina, 6 ribu rumah telah menerima bekalan air bersih, 13 ribu keluarga mendapat bekalan elektrik dan 5,500 kediaman baru telah siap dibina.
Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,
39. Merujuk kepada NKRA Menangani Kos Sara Hidup Rakyat, sukacita saya memaklumkan bahawa, kini kita telah menubuhkan sejumlah 307 buah Klinik 1Malaysia di seluruh negara sejak 2010, yang meliputi kawasan bandar dan luar bandar.
40. Setakat ini, saya dengan rasa berpuas hati dan lega melaporkan bahawa, khidmat kesihatan yang ditawarkan kepada rakyat ini, telah mendapat sambutan yang luar biasa dan membawa manfaat kepada lebih 15.8 juta kes pendaftaran rawatan, dengan hanya bayaran 1 ringgit sahaja.
41. Sebagai contoh, Saudara Karupaya A/L Muthukanoo, dari Pandamaran Klang. Beliau memberi maklumbalas kepada program ini bahawa, penubuhan Klinik 1Malaysia menjadi satu rahmat dan kemudahan yang dapat dirasakan secara langsung kepada beliau sebagai seorang rakyat Malaysia.
42. Sememangnya, dengan adanya perkhidmatan ini, ribuan pesakit terutamanya di kalangan masyarakat bandar termasuk Saudara Karupaya sendiri, kini tidak perlu risau akan masalah kekangan masa dan kewangan untuk mendapatkan rawatan perubatan asas.
43. Untuk itu, marilah sama-sama kita berterima kasih, dan mengucapkan syabas kepada petugas-petugas kesihatan dan para jururawat di Klinik 1Malaysia!
Para Hadirin Sekalian,
44. Di bawah NKRA ini juga, suka saya melaporkan tentang Bantuan Rakyat 1 Malaysia atau BR1M. Saya faham, BR1M kini menjadi satu topik yang banyak diperbualkan. Justeru, elok saya mengambil kesempatan pada malam ini bagi memperbetulkan tanggapan-tanggapan yang tidak tepat oleh sesetengah pihak berkaitan pemberian bantuan ini.
45. Sebetulnya, BR1M ini ialah satu subsidi bersasar dalam bentuk tunai, diberikan kepada golongan yang memerlukan sebagai pendekatan yang terbaik kepada Malaysia buat masa ini.
46. Semua perlu tahu bahawa, bantuan sebegini telahpun dilaksanakan oleh pelbagai negara dalam berbagai cara dan bermacam nama, seperti bantuan dana pendidikan, bantuan pelan kewangan kesihatan, welfare payment atau pembayaran kebajikan, dan bantuan melalui kupon makanan serta lain-lain lagi.
47. Misalnya, di Indonesia pada 2013, menerusi Program Keluarga Harapan, rakyatnya diberi bantuan tunai, bagi membantu meringankan kos sara hidup akibat pelaksanaan program rasionalisasi subsidi petrol dan diesel. Sejumlah 3.2 juta isi rumah rakyat Indonesia telah dibantu, dengan kos anggaran 700 bilion rupiah bersamaan 200 juta ringgit.
48. Kaedah bantuan di UK pula, adalah menerusi pemberian “setem makanan” dengan menggunakan kad khas untuk tujuan pembelian makanan.
49. Manakala, beberapa negara lain pula, turut melaksanakan pemberian bantuan, sama ada dalam bentuk kewangan mahupun bukan kewangan.
50. Ternyata, BR1M bukanlah sesuatu yang isolated atau asing, tetapi telah juga menjadi amalan di banyak negara maju di dunia sebagai salah satu polisi ‘socio safety net’.
51. Di atas segalanya, perlu difahami baik-baik bahawa, BR1M ini adalah transitional measure atau langkah sementara sahaja, dalam proses konsolidasi fiskal demi mempastikan kita benar-benar membantu golongan yang sangat memerlukan, berbanding subsidi secara pukal yang dilaksanakan sebelum ini.
52. Dalam hal ini, ingin saya kongsikan kisah Puan Dayah Anak Kepada Mamut, berusia 41 tahun, dari Rumah Panjang di Betong, Sarawak. Beliau adalah seorang ibu tunggal yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah dan mempunyai 4 orang anak yang berusia di antara 11 hingga 20 tahun.
53. Di sini, sebagai seorang pemimpin, suka saya menyatakan, sesiapa sahaja boleh mengatakan apa saja yang mereka suka dan fikirkan.
54. Namun bagi individu rakyat seperti Puan Dayah ini, Bantuan Rakyat 1 Malaysia, betul-betul dapat membantu meringankan beban yang ditanggung bagi kos persekolahan anak-anaknya.
55. Ketahuilah, selain Puan Dayah, disebalik apa yang diperkatakan kini, sekurang-kurangnya kerajaan telah mencuba sedaya mungkin memberi bantuan langsung kepada 7 juta isi rumah dan individu yang memerlukan dan tanpa mengira latar belakang politik.
Para Hadirin Sekalian,
56. Marilah kita sama-sama ucapkan terima kasih kepada Puan Dayah, bersama dengan 3 anak-anaknya, kerana telah bersusah –payah dan sudi menerima jemputan kita, untuk datang ke Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis ini.
57. Selanjutnya, semenjak tahun 2010, sebanyak 161 buah Kedai Rakyat 1Malaysia telah diwujudkan di seluruh negara. Melalui Kedai Rakyat 1Malaysia ini, sebanyak 272 jenis barangan Produk 1 Malaysia, dijual pada harga 15 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.
Para Hadirin Sekalian,
58. Merujuk kepada NKRA Mempertingkatkan Pembangunan Luar Bandar, Alhamdulillah, melalui GTP setakat ini, sukacita saya melaporkan, sebanyak lebih 5 juta rakyat lagi di kawasan luar bandar telah mendapat manfaat berhubung kemudahan yang disediakan seperti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik, sejak tahun 2010.
59. Sehubungan itu, ingin saya kongsikan, satu kisah kejayaan GTP yang menyentuh terus denyut nadi kehidupan rakyat seharian.
60. Ia tentang pembinaan jalan sepanjang 60 kilometer yang menghubungkan Pekan Sook ke Kampung Sinua di Keningau, Sabah.
61. Pembinaan jalan ini, turut membawa nikmat dan memberi kemudahan kepada murid-murid daripada 18 buah sekolah di kawasan tersebut. Dalam skala yang lebih besar, ia telah memudahkan kehidupan, sekurang-kurangnya 10 ribu penduduk suku kaum Murut dan Dusun.
62. Seterusnya, jika tahun lalu saya telah menyebut, kerajaan sudah membina 4,068 kilometer jalan luar bandar, yakni jarak 5 kali ulang-alik antara Johor Bahru dengan Perlis, selanjutnya antara tahun-tahun 2010 sehingga 2014 pula, secara keseluruhan, kita telah membina sepanjang 4,553 kilometer jalan raya.
63. Pada perspektif prasarana yang lain, program pembangunan luar bandar juga telah membantu lebih 330 ribu isi rumah untuk menikmati kemudahan bekalan air bersih yang disediakan. Manakala, hampir 130 ribu yang lain kini, dapat menikmati kemudahan bekalan elektrik tanpa gangguan.
Para Hadirin Sekalian,
64. Bagi NKRA Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Bandar pula, usaha untuk menambah baik kemudahan Pengangkutan Awam Bandar telah menunjukkan perubahan positif, di mana, bilangan penumpang berulang alik ke Kuala Lumpur, telah melebihi 455 ribu orang setiap hari terutama pada waktu puncak.
65. Oleh yang demikian, perkhidmatan bas akan ditambah baik dengan pengenalan Bus Rapid Transit atau BRT Sunway Line yang diuruskan oleh Prasarana Malaysia Berhad dan dijangka siap pada bulan Jun 2015.
66. Sukacita saya mengumumkan, perkhidmatan BRT yang pertama di Malaysia ini, akan memberi kemudahan kepada 500 ribu penduduk di sekitar Subang Jaya dan Bandar Sunway.
67. Berkait ini, saya juga ingin memberi khabar dan berita baik kepada penduduk sekitar Sri Petaling, Bukit Jalil dan Puchong, bahawa Projek Fasa 1 Program Peluasan Aliran LRT Ampang akan siap sepenuhnya pada bulan Oktober 2015.
68. Ini jelas menunjukkan, kita sebagai pihak kerajaan, tidak mengira bulu atau pilih kasih tentang lokasi pembangunan, tetapi kepentingan dan kesejahteraan rakyatlah menjadi keutamaan pentadbiran kita.
69. Makanya, peluasan jajaran ini dijangka mampu menampung peningkatan bilangan penumpang harian sebanyak 130 ribu orang pabila siapnya nanti.
70. Manakala bagi perkhidmatan KTM Komuter pula, setakat 2014, 38 tren enam gerabak telah ditambah. Dengan penambahan ini, masa menunggu telah berjaya dikurangkan daripada 30 minit kepada hanya 15 minit sahaja.
Para Hadirin Sekalian,
71. Dalam NKRA berkaitan Mempertingkatkan Taraf Hidup Isi Rumah Berpendapatan Rendah pula, setakat ini hampir 170 ribu orang daripada golongan miskin dapat hidup dengan lebih selesa dengan pelaksanaan program akhiri zaman kemiskinan atau 1AZAM, yang antara lain memberi penekanan kepada pembangunan keupayaan diri dan kemahiran kewangan.
72. Kita turut berbangga dengan pencapaian program 1AZAM di mana, hampir 65 ribu keluarga dari golongan sasar telah dibantu untuk pembangunan kapasiti dan kemahiran.
73. Sebagai percontohan, saya mahu berkongsi kisah saudari kita Cik Clarissa Balicao dari Sabah. Beliau ada bersama-sama kita dalam auditorium pada malam ini.
74. Saya dimaklumkan, berkat kesungguhan untuk merubah nasib hidup dan keluarganya, beliau telah mendaftarkan diri dalam program 1AZAM dan menyertai pelbagai latihan yang ditawarkan.
75. Kini, Cik Clarissa sudah pun memiliki salon sendiri di Kota Marudu Sabah dan mampu menjana pendapatan lebih 6 ribu ringgit sebulan. Marilah kita memberi tepukan dan mengucapkan tahniah kepada program 1AZAM dan kepada kejayaan Cik Clarissa!
Para Hadirin Sekalian,
76. Para bijak pandai menyebut, ilmu itu pelita hidup. Pendidikan pula menjadi cahaya penyuluh tamadun kemanusiaan. Merujuk kepada NKRA Mempastikan Pendidikan Berkualiti, kerajaan telah menyediakan bantuan kepada pelbagai golongan pelajar.
77. Contohnya, lebih 100 juta ringgit sebagai bantuan yuran kepada hampir 130 ribu pelajar pra-sekolah di institusi swasta dan dari golongan isi rumah berpendapatan rendah.
78. Selain itu, bantuan dalam bentuk yuran sekolah berjumlah hampir 7.5 juta ringgit diberikan kepada lebih 3 ribu kanak-kanak yang ditempatkan di pusat penjagaan kanak-kanak swasta.
79. Selanjutnya, berkait peningkatan kadar literasi Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, serta kadar numerasi di kalangan pelajar-pelajar, ada cerita benar dan menarik tentang adik kita yang bernama Nor Izzati Sabrina dari Ipoh, Perak.
80. Saya dimaklumkan, adik Nor Izzati ini bercita-cita menjadi seorang peguam. Kemasukan beliau ke Sekolah Berprestasi Tinggi atau SBT di Sekolah Kebangsaan Marian Convent Ipoh, telah membantu meningkatkan kemahiran beliau berkomunikasi dan bersosial.
81. Sesungguhnya, Sekolah Berprestasi Tinggi adalah antara inisiatif GTP yang sedang membuahkan hasil. Pada 2014, 13 sekolah lagi dikenal pasti sebagai SBT, menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 128 buah. Diharapkan, SBT akan terus melahirkan golongan pelajar yang berketrampilan dan menyerlah dalam semua aspek.
82. Sememangnya, SBT telah membuka peluang kepada pelajar berbakat seperti adik Nor Izzati, untuk mengasah kemahiran komunikasi dan kemahiran sosial dan antaranya, mewakili sekolah beliau dalam pertandingan choral speaking.
83. Oleh itu, Kerajaan berhasrat melahirkan lebih ramai pelajar yang sebegini dan kita ucapkan syabas serta selamat maju jaya kepada adik Izzati di atas usaha-usaha gigih itu!
Para Hadirin Sekalian,
84. Merujuk kepada NKRA Mengurangkan Jenayah, kini, kita bersyukur bahawa kadar indeks jenayah negara di bawah GTP, telah berjaya dikurangkan sebanyak 40 peratus dalam tempoh 5 tahun yang lepas.
85. Misalannya, bagi tahun 2014 sahaja, kes kecurian kereta telah menurun kepada hampir 20 peratus, pertama kali kita melihat penurunan trend jenayah kecurian kereta, semenjak NKRA ini diperkenalkan.
86. Apa yang mustahak, usaha untuk mengurangkan kadar jenayah akan diteruskan. Masih banyak usaha yang perlu dilakukan untuk membanteras jenayah.
87. Kerjasama antara Polis DiRaja Malaysia dengan komuniti tempatan dan agensi kerajaan akan diperhebatkan lagi, demi mewujudkan persekitaran yang aman untuk diduduki oleh rakyat, dikunjungi pelancong serta diyakini oleh para pelabur.
88. Terakhir, di bawah NKRA Membanteras Rasuah pula, Malaysia telah bertambah baik skor Indeks Persepsinya, dan meningkat daripada tangga 44 pada 2010, kepada tangga 52 pada 2014, daripada di kalangan 175 buah Negara.
Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,
89. Diucapkan syukur kepada Allah SWT, meskipun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global, kita masih mampu mencapai pertumbuhan KDNK yang kukuh pada tahun 2014, iaitu 6 peratus, sekali gus mengatasi anggaran 5.7 peratus oleh Bank Dunia, menjadikan pertumbuhan KDNK Malaysia antara yang paling tinggi di antara Negara Negara lain.
90. Pelaburan swasta pula, mencakup 64 peratus daripada jumlah pelaburan keseluruhan pada tahun lepas, justeru menjadikan sektor swasta sebagai pemacu utama keseluruhan pelaburan dalam negara.
91. Ini dibuktikan melalui kadar pertumbuhan tahunan terkompaun atau CAGR untuk pelaburan swasta yang meningkat 2.5 kali ganda antara tahun 2011 hingga 2014.
Para Hadirin Sekalian,
92. Seperti yang saya bentangkan pada awal laporan tadi, jika pencapaian GTP dibahagikan kepada 3 horizon, ETP pula adalah program ekonomi yang disukat dan diukur berdasarkan 3 pencapaian menyeluruh jangka panjang sehingga menjelangnya tahun 2020, yakni:
Pertamanya, Mencapai pendapatan per kapita rakyat sebanyak 15,000 dolar Amerika;
Keduanya, Mewujudkan sebanyak 3.3 juta peluang pekerjaan; dan
Ketiganya, Memperolehi 444 bilion dolar Amerika nilai pelaburan menjelang 2020.
93. Makanya, berbicara tentang ETP, menurut laporan, kita kini berada pada jajaran yang benar seperti yang dihasratkan.
94. Lantaran, bagi maksud laporan ini, saya akan menyebut antara beberapa contoh pencapaian inisiatif ETP yang boleh dibanggakan.
95. Bagi NKEA Greater Kuala Lumpur/ Klang Valley, sukacita di sini, saya ingin melaporkan bahawa Projek MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang, sehingga 2014, sedang mendahului jadual dengan penyiapan 59 peratus.
96. Untuk fasa satu dari Sungai Buloh ke Semantan, dijangka beroperasi pada Disember 2016. Manakala operasi sepenuhnya dari Sungai Buloh ke Kajang akan bermula pada bulan Julai 2017.
97. Antara impaknya, Projek MRT ini telah membina modal insan di kalangan rakyat Malaysia dalam pelbagai bidang, terutamanya di bidang kejuruteraan.
98. Satu perkara yang menarik, saya dimaklumkan, projek ini telah memberi ruang pekerjaan kepada lebih kurang 2,800 jurutera Malaysia, di mana 20 peratus daripada mereka terdiri daripada para jurutera muda kita.
99. Projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life pula, akan melonjakkan liveability atau daya huni Kuala Lumpur sebagai bandar ikonik dunia. Melalui projek ini juga, kerajaan akan menambahbaik kebersihan Sungai Kelang dan Sungai Gombak.
100. Laginya, pencapaian projek pembersihan sungai setakat 2014 pula adalah 53 peratus. Antara inisiatif-inisiatif pembersihan sungai yang telah siap ialah 8 loji rawatan air sungai dan 4 loji rawatan air sisa.
101. Merujuk kepada NKEA Pemborongan dan Peruncitan, Program Transformasi Peruncit Kecil atau TUKAR telah memberi manfaat kepada hampir 2,000 usahawan runcit melalui peningkatan peluang perniagaan dan kehidupan lebih sempurna sejak pelaksanaanya pada tahun 2011.
Para Hadirin Sekalian,
102. Pelancongan merupakan penyumbang keenam tertinggi kepada ekonomi Malaysia pada tahun 2014. Tidak hairanlah, ini berikutan penambahan pelancong sebanyak 6.7 peratus yang membawa kepada hampir 28 juta pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.
103. Makanya, bagi meneruskan kerancakan sektor pelancongan, di bawah NKEA Pelancongan, Kerajaan telah meluluskan satu lagi ruang perniagaan mewah yang menjual barangan premium yang diberi nama ‘Mitsui Outlet Park’, terletak berhampiran KLIA. Ianya bakal menjadi kompleks ruang perniagaan terbesar di Asia Tenggara.
104. Kompleks tersebut, dijangka mula beroperasi pertengahan tahun ini. Diharap, outlet ini akan mengulangi kejayaan yang dikecapi oleh Johor Premium Outlets atau ‘JPO’, yang kini telah beroperasi hampir empat tahun.
Para Hadirin Sekalian,
105. Bagi NKEA Pertanian pula, ia terus dipacu bagi menjamin sumber makanan yang mencukupi untuk rakyat serta aspek jaminan keselamatan bagi makanan negara. NKEA ini juga memainkan peranan penting sebagai pemudah cara untuk terus mengupayakan syarikat-syarikat besar di samping memperkasakan pengusaha kecil-kecilan di dalam bidang ekonomi ini.
106. Antara kejayaan penting yang telah dikecapi oleh NKEA ini bagi tahun 2014 adalah, kemajuan inisiatif Produk Herba Bernilai Tinggi. Saya difahamkan, hasil penyelidikan terhadap kegunaan komersil sesuatu herba yang dilanjutkan kepada ujian praklinikal atau klinikal, mampu melonjakkan nilai produk herba tersebut.
107. Sebagai contoh, ekstrak herba Tongkat Ali setelah proses piawaian, mampu mencecah harga 2,800 ringgit sekilo berbanding dengan harga Tongkat Ali yang mentah pada harga hanya 2 ringgit sekilo. Begitu jauh beza harganya dan hal ini cukup menakjubkan!
Para Hadirin Sekalian,
108. Di bawah Inisiatif Pembaharuan Strategik atau SRI Pembangunan Modal Insan, pencapaian kita dalam bidang tenaga kerja dan guna tenaga begitu memberangsangkan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
109. Oleh itu, kita akan meneruskan usaha untuk melonjakkan bilangan pekerja mahir kepada 50 peratus daripada tenaga kerja negara menjelang 2020.
110. Justeru, inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET diberikan perhatian oleh kerajaan di bawah RMK-10 dan diperkukuhkan oleh kementerian-kementerian untuk mempercepatkan pembangunan tenaga kerja mahir.
111. Sebagai percontohan, bersama-sama kita pada malam ini juga, Saudari Ruqaiyah Azahari, yang telah mendapat manfaat dari pelaksanaan program TVET ini.
112. Untuk makluman, Cik Ruqaiyah merupakan pemenang pingat gangsa di ASEAN Skills Competition 2012 di Jakarta, Indonesia dalam bidang fashion technology dan juga pemenang pingat Medallion for Excellence di WorldSkills Competition 2013 di Jerman.
113. Untuk pengetahuan semua, agak unik, beliau mendapat pendidikan awal di sekolah pondok sejak dari usia 6 hingga 9 tahun. Kemudiannya, bekerja untuk membantu keluarga dengan pendapatan hanya 300 ringgit sebulan.
114. Namun, dengan semangat gigih dan keazaman yang tinggi bagi meningkatkan taraf hidup dan membantu ahli keluarga, beliau telah berusaha mendapatkan Sijil Kemahiran GIATMARA dalam bidang fashion and dressmaking di GIATMARA Kuala Pilah.
115. Kini, beliau telah memperoleh pendapatan yang baik, melalui pekerjaan beliau sebagai tenaga pengajar di GIATMARA, di samping mengambil upah tempahan jahitan baju. Oleh itu, tahniah kita ucapkan kepada program TVET dan tepukan kepada usaha gigih Cik Ruqaiyah!
Para Hadirin Sekalian,
116. Wanita adalah tulang belakang dan menjadi rakan kongsi pembangunan negara. Oleh itu, hal ehwal pembelaan dan kebajikan mereka sentiasa menjadi agenda utama kerajaan.
117. Lantas, di bawah SRI Modal Insan ini juga, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk mempertingkatkan penyertaan tenaga kerja wanita kepada 55 peratus menjelang akhir 2015 dan 30 peratus penyertaan wanita pada peringkat pembuat keputusan menjelang tahun 2016.
118. Dek sebab itu, dengan melaksanakan Dasar Mesra Wanita di tempat-tempat kerja juga, pihak kerajaan berharap agar syarikat-syarikat swasta turut menyediakan kemudahan-kemudahan yang sewajarnya bagi memperkasakan peranan pekerja wanita di negara ini.
119. Dengan yang demikian, marilah kita ucapkan terima kasih dan tepukan penghargaan kepada wanita Malaysia!
Para Hadirin Sekalian,
120. Sesungguhnya inisiatif Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera akan terus menjadi agenda nasional bagi memacu kemajuan golongan bumiputera.
121. Bagi SRI Merapatkan Jurang Ketaksamaan di bawah TERAJU pula, sehingga kini, sebanyak hampir 48 bilion ringgit peluang perniagaan, pembiayaan dan pendidikan diwujudkan untuk komuniti Bumiputera.
122. Inisiatif Carve Out and Compete mencapai titik kemajuan baharu pada tahun ini, dengan memperuntukkan peluang khas kepada Bumiputera bernilai lebih 10 bilion ringgit daripada pelbagai projek dan berjumlah hampir 24 bilion ringgit sejak tahun 2012.
123. Kemudiannya, tahun 2014 pula turut menyaksikan kesinambungan program yang meningkatkan akses Bumiputera kepada pembiayaan dan pasaran, seperti lebih 2 bilion ringgit Dana TeraS, 580 juta ringgit Dana Halal, dan Skim Jejak Jaya Bumiputera.
Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,
124. Demikianlah serba sedikit petunjuk-petunjuk kejayaan yang dapat saya kongsikan daripada sekian banyak lagi ceritera-ceritera penghasilan GTP dan ETP yang telah diraih.
125. Sukacita juga, saya melaporkan bahawa, pada tahun 2014, berkat usaha yang bersungguh sungguh, KPI keseluruhan bagi NKRA menjangkau 105 peratus, manakala KPI keseluruhan untuk NKEA pula, telah melebihi sasaran yang dijangka dan berada pada kadar 110 peratus.
126. Serentak itu, KPI bagi keseluruhan SRI turut melampaui target yang dihasratkan dan telah mencecah kadar 120 peratus.
Para Hadirin Sekalian,
127. Bertapak di atas jejak-jejak kejayaan ini, semestinya, kita mampu menarik nafas lega untuk mengatakan yang Malaysia terus mara ke hadapan mengorak langkah di atas track yang betul, dengan pelbagai pengiktirafan oleh badan-badan antarabangsa, semakin hari semakin berubah, menjadi negara yang lebih baik, dari hari semalam.
128. Walau yang demikian, seperti saya sering peringatkan, kita tidak pernah lalai atau terlupa bahawa, masih terdapat ruang-ruang untuk peningkatan dan penambahbaikan.
129. Bahkan, gagasan negara yang bertiangserikan Falsafah Tunjang, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, bak kata orang Sabah, akan tatap,… menjadi paksi utama kepada semua perencanaan kemajuan Malaysia.
130. Begitulah, dalam pembentangan bajet 2015, saya telah menekankan keseimbangan antara capital economy dan people economy, bertemakan Ekonomi Keperluan Rakyat atau EKR, yang menjadi landasan, sekaligus pedoman dalam mendahulukan kepentingan rakyat.
Para Hadirin Sekalian,
131. Meskipun 2014, merupakan tahun yang paling mencabar dan begitu menduga dengan pelbagai tragedi, saya memberi jaminan bahawa, Kerajaan akan terus komited untuk membina sebuah negara Malaysia yang selamat, makmur dan sejahtera.
132. Laporan Indeks Kemudahan Menjalankan Perniagaan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia juga, telah meletakkan Malaysia di kedudukan ke-18, berbanding pada kedudukan ke-20 tempoh lalu.
133. Selain itu, dalam laporan IMD World Competitiveness Yearbook 2014, kedudukan Malaysia telah meningkat ke kedudukan 12 daripada tangga 15.
Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,
134. Sebelum itu, pada 20 Januari yang lepas, sebagai Kerajaan yang proaktif, saya tanpa berlengah, telah membuat perutusan khas bagi memaklumkan kepada rakyat tentang perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara. Saya telah rumuskan 6 perkara asas antaranya :
135. Pertama, kita bukan di dalam keadaan gawat atau krisis, seperti mana pada tahun-tahun 1997 dan 1998, dan…
136. Keduanya, Strategi-strategi Kerajaan yang diumumkan pada waktu itu, adalah langkah proaktif untuk melakukan penyesuaian atau adjustment, sebagai reality check, bagi meneruskan agenda pembangunan ekonomi.
137. Tambahan pula, semalam, selepas sepuluh tahun, kita telah sekali lagi berjaya menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-26, yang menyaksikan Malaysia berperanan sebagai Pengerusi.
138. Pada majlis tersebut yang baru saja berakhir siang tadi di Langkawi, kita telah berusaha mencapai dua perkara penting yakni, penubuhan komuniti ekonomi ASEAN dan roadmap atau halatuju ASEAN bagi tempoh 10 tahun akan datang, sebagai satu lagi detik penting kepada lebih 600 juta penduduk di Asia Tenggara.
139. Pastinya, peristiwa bersejarah ini, dalam lingkungan ASIA dan ASEAN, akan menjadi satu lagi pemangkin kepada usaha-usaha di bawah Dasar Transformasi Nasional, untuk mencapai kedudukan negara Maju Berpendapatan Tinggi seperti yang disasarkan.
140. Bertolak dari situ, kira-kira kurang sebulan dari malam ini, pada pertengahan Mei nanti, saya akan membentangkan pula sebuah lagi dokumen penting negara, yakni, Rancangan Malaysia Kesebelas.
141. RMK-11 itu kelak, adalah bingkisan besar, sebagai pelonjak akhir segala perencanaan dan perlaksanaan Malaysia memasuki ambang 2020.
Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,
142. Jelasnya, saya menyeru agar rakyat sekalian dapat berfikir dengan matang dan tidak diselubungi emosi dalam menghakimi kerajaan dan usaha-usaha murni kerajaan selama ini.
143. Tiada kalimah yang dapat menyuratkan, tiada ibarat sebagai umpama, untuk melukiskan betapa pentingnya bagi kita memiliki jiwa-jiwa yang besar, dalam perjuangan membangunkan tanahair.
144. Kerana itu marilah kita jauhkan segala sengketa dan mencari titik persamaan, demi kemakmuran sebuah Malaysia. Yakin dan percayalah, apabila kebenaran telah memancar dan menampakkan diri kelak, akan gugurlah segala nista dan tohmahan.
145. Ahli-ahli falsafah Yunani bermadah-madah, Imam Ghazali juga telah berpesan-pesan, hinggalah kepada para pemimpin dan tokoh-tokoh masyhur dunia antaranya Mahatma Ghandi, Keneddy, Martin Luther King dan ahli filasof terkenal Nusantara Melayu yakni HAMKA, menasihatkan bahawa, sudah menjadi adat dan sunnah orang berjuang, pasti menempuh getir serta liku-liku cabaran.
146. Namun,…para hadirin dan rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian….., walau dilintang dengan seribu aral, biarpun kita sedang diasak dan dikritik, sebagai sebuah Kerajaan yang telus, saya selaku Perdana Menteri, bersama-sama Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri dan didokong pula para menteri serta rakan-rakan anggota pentadbiran, tidak akan sesekali berganjak atau menyerah kalah, malah akan tetap beristiqamah dan terus berjuang, merintis sejuta lagi jalan baru demi kebaktian kepada rakyat dan negara.
147. Tambah Hamka lagi dan seruan hikmat orang Bugis pula, dalam berjuang, jikalau perahunya telah kita kayuh ke tengah, ia tidak boleh bersurut pulang, meskipun bagaimana besar gelombang yang melanda, biarpun kemudi patah, biarpun layar robek, biarpun seribu kapal tenggelam di tengah lautan, ia lebih mulia bagi kita tegap teguh berjuang daripada membalik haluan pulang.
148. Lantas, selagi cita-cita murni tidak padam, kita tidak akan keseorangan, tidak pula hilang haluan dan pedoman. Ayuhlah,… ayuhlah,… bersama-sama berganding di atas roh perjuangan yang sama, kita terus menuju gagah ke hadapan, ke arah Malaysia yang maju lagi disegani di persada dunia.
149. Mudah-mudahan Allah SWT akan sentiasa merahmati Malaysia, mendatangkan bahagia dan sentosa kepada rakyat serta pertiwinya, zahir dan batin buat selama-lamanya.
Sekian, terima kasih
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.