Kementerian Pengangkutan akan memastikan siasatan kemalangan maut melibatkan tiga beranak di Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dilakukan dengan telus.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, berkata, siasatan kemalangan yang mengorbankan Fairuz Nizam, 35, isterinya Nova Safitri, 27, serta anak perempuan mereka berusia tujuh bulan Nur Annisa Firuza, tidak boleh diambil mudah atau dilakukan secara pilih kasih.
“Biar polis lakukan siasatan dahulu, selepas selesai, tindakan tanpa pilih kasih akan dikenakan terhadap sesiapa juga. Pesalah perlu menjalani hukuman yang akan ditentukan mahkamah.
“Tidak timbul isu ‘orang dalam’, kerana siasatan akan dilakukan secara telus,” katanya ketika menziarahi dua anak perempuan mangsa iaitu Nur Firuza Amira, 7, dan Nur Firuza Akila, 3, di Batu Cave, pada Isnin.
Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kenyataan salah seorang ahli kumpulan Familia Myvi Club (FMC) yang mendakwa kumpulan itu mempunyai ‘orang dalam’ untuk menyelesaikan kemalangan maut yang dikatakan berpunca daripada kumpulan mereka pada Sabtu lalu.
Kenyataan oleh wanita yang dikenali sebagai Yana itu kemudian menjadi viral di laman sosial dan menimbulkan kemarahan netizen serta keluarga mangsa.
Dalam perkembangan sama Ab Aziz memberitahu, Kementerian Pengangkutan akan mengkaji semula kepentingan kelab-kelab kereta di negara ini.
“Berpersatuan tidak salah, yang jadi kesalahan adalah mereka yang buat pengubahsuaian terhadap kenderaan sehingga tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
“Bagaimanapun, kita akan buat kajian sama ada kelab-kelab kereta ini sesuai atau tidak untuk diamalkan di negara ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, jelasnya, JPJ akan bekerjasama dengan Miros dalam membantu melengkapkan siasatan yang sedang dilakukan pihak polis.
Dalam kemalangan pada Sabtu lalu, Fairuz Nizam, 35, isterinya Nova Safitri, 27, serta seorang anak perempuan mereka berusia tujuh bulan Nur Annisa Firuza tercampak keluar dari kenderaan selepas dirempuh Myvi yang dikatakan sedang berlumba.
Fairuz Nizam terbunuh di tempat kejadian manakala Nova Safitri dan Nur Firuza meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur.
Semasa kemalangan, ketiga-tiga mereka dilaporkan dalam perjalanan pulang dari majlis perkahwinan di Putrajaya.