Ahli Parlimen PAS Pasir Mas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengecam tindakan segelintir pimpinan PAS yang membenarkan ceramah Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengenai penolakan hudud di hadapan rakyat Kelantan di Padang Perdana, Kota Bharu pada Ahad lalu.
Kit Siang yang memberi ‘kuliah’ anti hudud dijemput oleh PAS Kota Bharu berceramah bersama-sama Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.
Nik Abduh dalam status Facebooknya berkata jika ayahnya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih hidup, tiada pemimpin PAS yang berani membawa pemimpin DAP itu ke Kota Bharu untuk berceramah menolak hudud.
Malah katanya, sejak PAS kehilangan Nik Aziz, parti itu berubah begitu cepat seolah-olah ada golongan yang menanti-nanti kematian itu.
“Mereka kata, sejak PAS kehilangan TGNA rahimahullah, PAS berubah begitu cepat sekali seolah-olah ada golongan yang menanti-nanti kematian itu.
“Saya jawab, ya. Jika ada TGNA, tiada pemimpin PAS yang berani membawa dan bersama LKS ke Kota Bharu untuk berceramah menolak hukum Allah,” katanya.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu juga menasihatkan seluruh ahli PAS mengukuhkan istiqamah dalam menyambung perjuangan bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Pada Ahad lalu, DAP menjadikan Jordan dan Mesir sebagai contoh untuk terus menolak pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II di Kelantan yang bakal dibentangkan di Parlimen oleh dalam masa terdekat.
Penasihatnya, Lim Kit Siang ketika berceramah di Padang Perdana menjadikan dua buah negara itu sebagai contoh kerana mempunyai lebih 90 peratus penduduk beragama Islam namun sehingga kini tidak melaksanakan undang-undang Islam.
Katanya, Malaysia terdapat kira-kira 95 peratus lebih tiga peratus berbanding dua negara itu.
“Jordan dan Mesir tidak melaksanakan hukum hudud walaupun peratusan umat Islam di negara itu dengan Malaysia tidak jauh beza.
“Walaupun dua negara berkenaan yang tidak melaksanakan hudud, namun tiada pertikaian atau perbalahan sama ada undang-undang Islam itu wajar dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum, beliau mengingatkan semua parti yang berada dalam pakatan pembangkang supaya berpegang kepada janji asas yang sudah dipersetujui bersama.
Dalam ceramah anjuran PAS Kota Bharu itu turut dihadiri Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.