SYDNEY: Indonesia memaklumkan kepada Australia bahawa sebahagian besar pendatang yang terkandas di laut di Asia Tenggara adalah buruh haram dari Bangladesh, bukan pelarian Rohingya, kata Menteri Luar Julie Bishop dalam komen yang disiarkan pada Sabtu.
Lebih 3,500 pendatang telah berenang atau diselamatkan di perairan Malaysia, Indonesia, Thailand dan Bangladesh selepas Thailand menjalankan tindakan keras terhadap aktiviti penyeludupan manusia pada awal Mei.
Seperti dipetik akhbar The Australian Weekend, Bishop berkata Indonesia menganggarkan hanya 30 hingga 40 peratus daripada beribu-ribu masih terkandas di laut adalah Rohingya
“Mereka (Indonesia) percaya terdapat kira-kira 7,000 orang di laut dan mereka anggarkan kira-kira 30 hingga 40 peratus adalah Rohingya, yang lain adalah Bangladesh dan mereka bukan pelarian sebaliknya buruh haram. Mereka telah dijanjikan pekerjaan di Malaysia.
“Mereka berkata, Rohingya telah pergi ke Bangladesh dan telah bercampur dengan warga Bangladesh yang datang ke Malaysia khususnya untuk pekerjaan,” katanya.
Bishop berkata Ketua Pengarah Urusan Pelbagai Hala Indonesia, Hasan Kleib, memaklumkan bahawa 400 daripada 600 orang di atas kapal itu merupakan warga Bangladesh.
Myanmar sedang berhadapan dengan tekanan antarabangsa dalam membendung penghijrahan dan menyalurkan bantuan kemanusiaan segera kepada beribu-ribu pelarian yang masih terkandas.
Perdana Menteri Australia, Tony Abbott pada Jumaat tetap dengan pendiriannya yang enggan menempatkan semula, mana-mana pelarian Rohingya yang cuba memasuki negaranya.
Beliau berpendapat perkara itu boleh menggalakkan lagi pelarian menaiki bot dan memasuki mana-mana negara secara haram.