Seramai 12 anggota polis ditahan dipercayai berkaitan penemuan kubur besar dan kem pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma, Perlis pada Isnin.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, lapan anggota polis itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala polis menahan empat anggotanya bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Kita akan siasat semua pihak yang terlibat sama ada mereka terlibat secara langsung atau bertindak sebagai fasilitator kepada sindiket penyeludupan manusia ke negara ini menerusi sempadan,” katanya pada sidang media selepas membahaskan usul tergempar mengenai isu itu di Parlimen pada Rabu.
Untuk memastikan kes tersebut disiasat secara menyeluruh, Wan Junaidi berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan polis Thailand bagi mengenal pasti dalang disebalik kegiatan ini.
“Kerjasama antara polis Malaysia dan Thailand akan diperhebatkan. Kita nak cari dalang yang terlibat secara langsung di sebalik penyeludupan ini,” katanya yang memberi jaminan kes ini akan disiasat secara telus.
Beliau berkata, pasukan siasatan khas dari Bukit Aman akan mengendalikan kes ini secara langsung untuk mengelak berlaku ketidakadilan dalam siasatan tersebut.
Ditanya mengenai dakwaan kegagalan pihak berkuasa untuk mengesan kegiatan tersebut. Wan Junaidi berkata, perkara itu diluar jangkaan pihak penguatkuasaan kerana lokasi tersebut terpencil dan tidak mudah dimasuki.
“Lokasi kubur ini jauh, ambil masa jalan kaki selama tiga jam dan kawasannya curam. Pihak penguatkuasa tidak pernah ke tempat terpencil, hutan tebal itu. Tidak ada manusia pun pergi ke sana. Jadi ini diluar jangkaan.
“Tetapi ia lebih mudah dinaiki daripada kawasan Thailand. Sebab itulah sindikiet memilih kawasan itu untuk kegiatan pemerdagangan dan memindahkan orang dari Thailand ke sini,” katanya.
Pada masa sama, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong menafikan dakwaan bekalan makanan tidak mencukupi terhadap pelarian Rohingya dan Bangladesh yang ditempatkan di beberapa kem penempatan sementara.
“Tuduhan itu tidak betul, saya nafikan. Esok saya akan bawa makanan tidak kurang daripada RM60,000. Ini hasil pemberian NGO dan rakyat Malaysia yang prihatin dengan keadaan tahanan,” katanya.