Kementerian Kewangan akan membentangkan pelan Hala Tuju 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke mesyuarat kabinet esok.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pelan tersebut amat penting bagi menangkis persepsi negatif sesetengah pihak terhadap syarikat milik penuh Kementerian Kewangan itu yang ketika ini dibelenggu dengan pelbagai isu.
Jelas beliau, perkara itu dapat membantu memberi gambaran jelas mengenai kedudukan sebenar 1MDB terutama berkaitan dengan isu tanggungan hutang berjumlah RM42 bilion.
“Kita mahu pelan ini membawa gambaran sebenar mengenai 1MDB dan dapat menyelesaikan banyak salah faham yang selalu ditimbulkan pihak-pihak tertentu,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Koperasi Nasional 2015 di sini hari ini.