Tidak seperti kepimpinan negara terdahulu, setiap kerugian akan dianggap kepentingan nasional dan di bailout atau di letak sebagai rugi atas kertas.
1Malaysia Development Bhd. (1MDB) harus bertanggungjawab menyelesaikan hutang pinjaman sebanyak RM42 bilion menerusi pelan rasionalisasinya tanpa memerlukan bantuan kerajaan bagi memastikan ia tidak menjejaskan kepentingan negara khususnya rakyat.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, sekiranya 1MDB gagal menjelaskan hutang berkenaan kerajaan terpaksa menanggung dan secara tidak langsung akan memberi kesan terhadap peningkatan kadar defisit negara.
“Apabila saya terlibat dengan 1MDB ini apa yang saya fikirkan adalah rakyat, kalau kerajaan ambil alih RM42 bilion ini dan pada masa kita akan mulakan Rancangan Malaysia Ke-11 tahun depan yang perbelanjaan pembangunan pula adalah sebanyak RM52 bilion, jika dicampurkan sudah pasti defisit akan melonjak tinggi.
“Kita sasarkan defisit tahun ini adalah pada kadar 3.2 peratus dan kalau ini berlaku defisit kita akan mungkin menjadi lebih daripada empat peratus,” katanya dalam siaran langsung rancangan Dialog Khas 1MDB: Di Mana Wangnya? yang disiarkan menerusi saluran RTM1 malam ini.
Sehubungan itu, Ahmad Husni memberitahu, dalam konteks itu, 1MDB perlu bertanggungjawab menyelesaikan hutang berkenaan tanpa menjejaskan kepentingan rakyat.
Jelas beliau, sekiranya defisit negara melonjak tinggi, maka senario seperti 1998 akan berulang iaitu nilai mata wang negara akan jatuh.
“Apa yang akan terjadi apabila defisit meningkat adalah kedudukan mata wang negara akan jatuh dan syarikat yang meminjam dari luar negara terpaksa membayar dengan kadar yang tinggi berikutan penyusutan nilai ringgit,” katanya.
Menyentuh soal integriti, Ahmad Husni berkata, dalam sistem demokrasi, kerajaan telah membuka ruang seluas-luasnya bagi memperlihatkan ketelusan dalam menjalankan siasatan terhadap syarikat berkenaan.