Kemenangan besar golongan proulama pada pemilihan PAS menunjukkan perwakilan menolak pemimpin alternatif yang bersekongkol dengan ‘pihak luar’, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menteri Dalam Negeri itu turut mengucapkan tahniah kepada perwakilan kerana memartabatkan golongan itu dalam saf kepimpinan pusat dan Pemuda.
“Ini adalah manifestasi bahawa pemimpin alternatif parti yang cuba ambil alih dengan bersekongkol dengan pihak luar yang akhirnya mampu meranapkan cita-cita Islam PAS, maka jelas ia ditolak oleh para perwakilan,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan bersama ulama hadis, di sini Jumaat.
Ahmad Zahid berkata pegangan UMNO dalam soal hukum Islam dan melibatkan kepentingan kebangsaan adalah sama dengan kepimpinan golongan proulama PAS.
“Dalam soal politik mungkin kita mempunyai pandangan berbeza tetapi dari segi agama Islam dan soal kenegaraan kita menyatakan kebersamaan dalam bentuk pemikiran dan tindakan yang dilakukan dalam dasar, polisi atau operasi,” katanya.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan jawatan Presiden dalam pemilihan PAS semalam yang turut menyaksikan golongan proulama menguasai kepimpinan parti itu.
Pada pemilihan parti sempena Muktamar Tahunan Pas Pusat kali ke-61 itu, seorang lagi pemimpin proulama, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berjaya menewaskan Mohamad Sabu bagi jawatan Timbalan Presiden.