Semua keterangan dan bukti berkaitan perniagaan dan transaksi kewangan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) telah dikongsi dengan juruaudit bebas dan pihak berkuasa Malaysia, kata 1MDB.
1MDB berkata demikian ketika menjawab catatan terbaru bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya, ‘Jawapan 1MDB,” yang meminta keterangan berdokumen.
Pada Selasa, 1MDB dalam satu kenyataan yang panjang lebar, menjawab pertanyaan dan dakwaan Dr Mahathir mengenai pelbagai isu berkaitan syarikat pembangunan strategik negara itu.
1MDB berkata, ia telah menjawab dengan terperinci serta fakta yang boleh disahkan.
“Kini setelah dikemukakan dengan fakta oleh 1MDB, Dr Mahathir telah meminta keterangan berdokumen.
“Sebagaimana telah dijelaskan 1MDB, semua keterangan dan bukti berkaitan perniagaan dan transaksi kewangan 1MDB telah dikongsi dengan juruaudit bebas dan pihak berkuasa Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa terbabit boleh mengambil tindakan bersesuaian mengikut proses dan undang-undang Malaysia, katanya.
1MDB menegaskan ia kekal fokus sepenuhnya kepada melaksanakan pelan rasionalisasinya.
Sebagaimana yang telah dicapai dengan Edra Energy,ia akan menyaksikan Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia menjadi syarikat berdiri sendiri, yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas prestasi operasi dan kewangan mereka, tambah kenyataan berkenaan.
Menurutnya, pembayaran balik pinjaman RM3.6bilion baru-baru ini mencerminkan komitmen 1MDB mengurangkan keseluruhan paras hutangnya sejajar dengan pelaksanaan pelan rasionalisasi itu.
Syarikat itu yakin mampu menjana nilai maksimum untuk pemegang saham 100 peratus 1MDB, iaitu kerajaan Malaysia, tambahnya.