Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat menetapkan tujuh hari, bermula 7 Oktober untuk mendengar saman fitnah yang difailkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap Harakah dan Harakahdaily berhubung isu 1MDB.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hue Siew Kheng menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan kehadiran peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, Datuk Abu Bakar As-Sidek dan Nor Emilia Iszeham, mewakili Najib, serta Mohamed Hanipa Maidin bagi Harakah dan Harakahdaily.
Mohd Hafarizam, ketika ditemui pemberita, berkata mahkamah turut menetapkan 13 Julai untuk mendengar permohonan Najib untuk membuang dua perenggan dalam pernyataan pembelaan, berkaitan dakwaan ulasan yang adil dan perlindungan bersyarat, yang difailkan defendan.
Dalam saman yang difailkan pada 18 Mac tahun ini, Najib menamakan Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakob dan Ketua Pengarang Harakahdaily, Taufek Yahya, sebagai defendan. Ia
Ia membabitkan penerbitan artikel yang ditulis Rosli pada 19 Februari berkaitan isu dana 1MDB.
Menerusi pernyataan tuntutan, Najib berkata artikel itu mengandungi perkataan fitnah yang menggambarkan bahawa beliau telah menyalah guna dana 1MDB.
Oleh itu, kata beliau, penerbitan artikel itu telah menjejaskan reputasinya dan mengakibatkan beliau dikecam dalam media sosial dan media massa.
Najib turut mendakwa Taufek gagal mengamalkan ‘kewartawanan bertanggungjawab’ (responsible journalism) dengan tidak mengesahkan kebenaran perkataan yang ditulisnya sebelum menerbitkan artikel itu.
Perdana Menteri mendakwa defendan sengaja menerbitkan artikel fitnah itu bagi meneruskan agenda tersendiri untuk menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadapnya.
Beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah serta injunksi untuk menahan defendan atau pembantu mereka daripada menerbitkan artikel berkenaan.