Serangan bermula apabila saya enggan melaksanakan tuntutan peribadi Tun Dr Mahathir Mohamad. Saya enggan kerana berasa adalah tidak wajar bagi Malaysia ditadbir secara proksi.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak percaya Tun Dr Mahathir Mohamad bekerjasama dengan pihak asing ekoran serangan dan pembohongan terbaru kononnya beliau menerima dana daripada 1MDB untuk kepentingan peribadi.
Menurut Najib, serangan tersebut kerana keengganan beliau melaksanakan tuntutan-tuntutan peribadi Tun Mahathir.
“Tun kemudian mencipta krisis apabila beliau secara melulu mendakwa bahawa RM42 bilion telah hilang dari 1MDB, sedangkan ia adalah hutang tetapi 1MDB memiliki RM51 bilion aset yang telah diaudit,” katanya.
Najib menerusi Facebook beliau malam tadi berkata, dakwaan terbaru terhadapnya adalah mengambil dana untuk kepentingan peribadi.
Perdana Menteri juga menegaskan, bahawa mereka yang terus melancarkan serangan dan fitnah ini perlu bersedia berdepan akibat tindakan mereka.
Berikut adalah kenyataan penuh Najib yang dikeluarkan malam ini.
- Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pelbagai tuduhan – semuanya tidak berasas dan kebanyakannya mengarut – dilakukan terhadap saya dan keluarga.
- Serangan bermula apabila saya enggan melaksanakan tuntutan peribadi Tun Dr Mahathir Mohamad. Saya enggan kerana berasa adalah tidak wajar bagi Malaysia ditadbir secara proksi.
- Tun kemudian mencipta krisis apabila tanpa usul periksa mendakwa RM42 bilion hilang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedangkan hakikatnya ia adalah hutang yang diaudit dan disokong oleh aset diaudit bernilai RM51 bilion.
- Dakwaan terbaharu ialah kononnya saya mengambil dana berkaitan kerajaan untuk kepentingan peribadi. Saya percaya Tun berada di belakang pembohongan ini, berganding bahu dengan pihak asing termasuk blog politik Sarawak Report yang semakin diragui kredibilitinya.
- Saya ingin berterus terang: Saya tidak pernah mengambil dana demi kepentingan peribadi seperti didakwa seteru politik – baik daripada 1MDB, SRC International atau entiti lain, seperti mana disahkan oleh semua syarikat terbabit.
- Jelas sekali, tuduhan palsu seperti ini adalah sebahagian daripada kempen terancang sabotaj politik untuk menjatuhkan Perdana Menteri yang dipilih secara demokrasi.
- Mereka yang membuat dakwaan itu tidak pernah mengetengahkan sebarang bukti. Apa yang kita dengar hanyalah dakwaan berasaskan kebocoran dokumen dan penyiasat tanpa nama. Tiada sekali pun sumber dokumen ini ditampilkan, manakala dokumen berkenaan juga tidak pernah dikemukakan untuk pengesahan pihak berkuasa.
- Seperti diketahui, beberapa dokumen yang menjadi asas dakwaan kebelakangan ini dilaporkan telah diubah. Individu yang membocorkan dokumen ini sedang disiasat oleh pihak berkuasa di luar negara kerana cuba memeras ugut bekas majikannya. Hakikat ini besar kesannya terhadap kesahihan dokumen berkenaan dan mereka yang menggunakannya untuk memburuk-burukkan kerajaan serta negara kita.
- Mereka yang terus melancarkan serangan ini perlu bersedia untuk berdepan tindakan berikutan perbuatan mereka. Taktik kotor – termasuk taktik jenayah dalam beberapa keadaan – untuk menumbangkan kerajaan akan gagal. Dalam beberapa keadaan, mereka bakal berdepan tindakan mengikut peruntukan undang-undang.
- Malang sekali serangan palsu bertubi-tubi yang didorong kepentingan peribadi ini berlaku pada ketika Malaysia memiliki pelbagai kelebihan unik – kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dan status negara maju yang semakin hampir dicapai. Saya kekal dengan fokus untuk membangunkan negara demi rakyat.