JOHOR BARU: Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan beberapa lagi pemimpin parti dihalau oleh sekumpulan penyokong UMNO selepas kenyataan menghina Perdana Menteri ketika menghadiri Forum Kedai Kopi DAP bersama masyarakat Sabah dan Sarawak di Taman Megah Ria, dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, forum itu yang pada mulanya berjalan lancar bertukar kecoh apabila Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong mengeluarkan kenyataan bahawa orang UMNO sendiri ingin menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri selepas mendakwa Ketua Pembangkang kini dipegang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed.
Terjadi insiden tolak menolak antara penyokong UMNO yang berbaju merah sebagai tanda protes terhadap kehadiran Kit Siang ke Parlimen Pasir Gudang kira-kira 20 minit sehingga menyebabkan campur tangan pihak polis.
Kumpulan itu turut membawa penyapu lidi sebagai simbolik untuk menghalang pemimpin pembangkang itu, selain turut mengeluarkan perkataan kesat termasuk mengharamkan Kit Siang memijak kaki di tanah Pasir Gudang.