Ahli perniagaan terkemuka Tan Sri Halim Saad gagal dalam cubaan terakhirnya untuk mengembalikan saman awam RM1.8 bilion terhadap Khazanah Nasional dan dua pihak lain berhubung keputusannya melepaskan kawalan terhadap Renong Bhd.
Panel lima anggota Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif hari ini tidak membenarkan beliau meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Halim memfailkan tindakan undang-undang terhadap Khazanah; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Kerajaan, tetapi pada 2013, Mahkamah Tinggi menolak samannya atas alasan ia difailkan selepas tempoh enam tahun yang dibenarkan mengikut Akta Had Masa 1953.
Halim juga gagal dalam rayuan beliau apabila ia ditolak Mahkamah Rayuan pada tahun lalu.
Ketika menolak dengan sebulat suara permohonan Halim untuk mendapatkan kebenaran merayu hari ini, Raus berkata kebenaran untuk berbuat demikian tidak dapat diberi kerana ahli perniagaan itu tidak memenuhi syarat mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Bekas Pengerusi Eksekutif Renong Bhd itu mahu Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengenai persoalan undang-undang berkaitan syarat untuk mengetepikan saman awam, tetapi Raus berkata undang-undang mengenai isu itu sudah wujud.
Raus memerintahkan Halim membayar kos perundangan RM20,000 kepada Khazanah dan RM20,000 kepada Nor Mohamed serta Kerajaan.
Halim menyaman Khazanah, Nor Mohamad dan Kerajaan bagi menuntut semula pampasan lebih RM1.8 bilion kerana menjual kepentingannya dalam Renong.
Ahli perniagaan itu mendakwa beliau memiliki 372,000,000 saham pada 2001, iaitu kira-kira 16 peratus daripada modal terbitan dan berbayar syarikat itu.
Halim juga mendakwa beliau dipujuk Nor Mohamed, sebagai ejen kerajaan, agar beliau menerima perjanjian berhubung langkahnya meninggalkan Renong dan United Engineers (M) Bhd (UEM), yang ketika itu Renong memiliki kepentingan besar dalam modal terbitan dan berbayar syarikat berkenaan (UEM).
Halim menuntut ganti rugi am RM1.3 bilion kerana pelanggaran syarat pembelian Renong, RM508 juta sebagai nilai modal berbayar Kualiti Alam Sdn Bhd bagi menampung kerugian beliau kerana menyelamatkan Fleet Group, dan ganti rugi kerana kerana salah nyata.
Pada 31 Oktober 2013, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hanipah Farikullah membenarkan permohonan Khazanah, Nor Mohamed Yakcop dan Kerajaan untuk mengetepikan saman sivil Halim.