Peguam Negara menegaskan bahawa beliau tidak akan teragak-agak untuk mendakwa mana-mana pihak yang didapati membocorkan maklumat sulit berkaitan siasatan jenayah.
“Isu yang membimbangkan adalah bahawa dokumen itu dikatakan telah dibocorkan dari dalam siasatan itu sendiri.
“Adalah juga menjadi suatu kesalahan jenayah di bawah seksyen 203A Kanun Keseksaan untuk mana-mana orang menzahirkan sebarang maklumat atau perkara yang telah diperolehinya pada melaksanakan tugasnya atau menjalankan fungsinya di bawah mana-mana undang-undang bertulis dan untuk mana-mana orang yang mempunyai apa-apa maklumat atau perkara yang dia tahu telah dizahirkan dengan melanggar undang-undang untuk selanjutnya menzahirkan maklumat atau perkara itu kepada mana-mana orang lain,” kata kenyataan Tan Sri Abdul Gani Patail, Rabu.
Menurutnya, perbuatan itu suatu kesalahan jenayah mengikut Seksyen 133 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Seksyen 145 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 untuk mendedahkan apa-apa dokumen atau maklumat berhubungan hal ehwal atau akaun mana-mana pelanggan institusi kewangan.
Beliau katanya, mengambil maklum bahawa dokumen dalam artikel Wall Street Journal, “Malaysia Orders Freeze of Accounts Tied to Probe of Alleged Transfers to Prime Minister Najib” bertarikh 7 Julai 2015 adalah perkara mengenai siasatan.
Menurutnya, perintah pembekuan enam akaun bank membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak melibatkan akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.
“Perintah pembekuan yang dikeluarkan pada 6 Julai lalu tidak melibatkan mana-mana akaun yang dikatakan dipunyai oleh Perdana Menteri,” katanya.
Sehubungan itu adalah penting tegasnya, untuk menjaga integriti siasatan itu agar tidak timbul kemusykilan di kalangan orang awam.
Kebimbangan beliau turut disokong Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Pasukan Petugas Khas antara agensi katanya, ditubuhkan untuk menyiasat perkara ini adalah untuk memastikan bahawa tidak timbul sebarang salah guna mekanisme siasatan.
Menurutnya, pendedahan itu bukan persoalan “whistle-blowing” kerana perkara berkenaan sudah dalam siasatan.