Bekas pengarang Sarawak Tribune, Lester Melanyi mendakwa kepakaran pereka laman web digunakan untuk memalsukan emel dan perjanjian bagi menulis berita mengenai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menerusi pendedahan video bahagian kedua itu, Lester, 49, yang mendakwa pernah berkhidmat untuk laman web Sarawak Report berkata, pereka itu dikatakan bekerja separuh masa dengan Yayasan Bruno Manser (BMF).
Dia mendakwa pereka itu memalsukan dokumen di bawah arahan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.
“Pereka web di London itu amat mahir melakukannya. Jika anda menyuruhnya untuk menghasilkan wang, dia boleh hasilkan wang untuk anda dan ia akan kelihatan asli,” dakwa Lester dalam video itu yang didedahkan oleh Ramesh Rao Krishnan Naidu, pemimpin sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
Lester turut mendakwa bahawa dia kebiasaannya menghubungi pereka itu tetapi tidak mengetahui apakah perisian yang digunakan oleh pereka berkenaan untuk memalsukan maklumat.
Bagaimanapun, dia mempunyai harapan terhadap dua artikel Sarawak Report iaitu “How Jho Low Used PetroSaudi As ‘A Front’ To Siphon Billions Out Of 1MDB!” dan “Riza and Jho Low face questions over bribery and tax evasion” dengan menggelarkannya sebagai fiksyen yang amat bagus.
“Ia boleh laris dijual sekiranya ia dikeluarkan dalam bentuk novel. Semuanya adalah rekaan!” dakwa Lester.
Lester mendakwa bahawa apa yang dilakukan oleh Sarawak Report adalah “tidak betul”.
“Saya memutuskan untuk tidak melakukan perkara ini kerana saya tahu kesemua ini akan menjejaskan negara dan adalah tidak baik bagi mana-mana manusia untuk menipu dan berbohong bagi memperoleh sesuatu. Dan saya melakukan perkara ini kerana saya tahu bahawa saya melakukan perkara yang betul,” dakwanya.