Selesa dan sistematik. Itulah perkataan terbaik bagi menggambarkan lapan set tren enam gerabak kenderaan aliran ringan (LRV) baharu milik Syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang akan memulakan operasi di Aliran Ampang bermula 31 Oktober ini.
Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz berkata, setiap tren itu mampu menampung kapasiti penumpang seramai 1,250 orang dalam satu-satu masa di empat stesen baharu iaitu Awan Besar, Muhibbah, Alam Sutera dan Kinrara BK5.
Katanya, lapan set tren itu merupakan antara 50 tren baharu yang disediakan pihaknya bagi menggantikan kesemua tren Transit Aliran Ringan (LRT) sedia ada dengan kos keseluruhan sebanyak RM960 juta.
“Bagaimanapun, buat masa ini lapan tren baharu ini hanya akan beroperasi di stesen-stesen baharu itu dan berhenti di Stesen Sri Petaling sebelum kembali semula ke Stesen Awan Besar.
“Ini kerana Prasarana perlu meningkatkan perkhidmatan sedia ada pada tren dan laluan sedia ada secara berperingkat terlebih dahulu kerana reka bentuk serta teknologi adalah berbeza dengan sistem tren baharu ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja di Stesen Awan Besar di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Prasarana, Tan Sri Ismail Adam; Pengarah Kumpulan Pembangunan Projek Prasarana, Datuk Ir. Zohari Sulaiman dan Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pengangkutan Moden Awam, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Mohd. Azharuddin Mat Sah.
Sempena lawatan itu, wartawan dan jurugambar daripada pelbagai organisasi media diberi penerangan mengenai tren baharu tersebut dan berpeluang menaikinya dari Stesen Awan Besar hingga Stesen Sri Petaling.
Ciri-ciri lain yang terdapat dalam tren baharu itu adalah paparan cecair kristal (LCD) bermaklumat, peta perjalanan dinamik, paparan destinasi sisi dan kamera litar tertutup (CCTV).
Teknologi yang diguna pakai pada perkhidmatan tren dan laluan baharu itu adalah pengendalian secara automatik sepenuhnya berbanding tren lama yang dikelolakan oleh seorang pemandu.
Jelas Azmi, Prasarana menjangkakan 12 lagi tren baharu akan memulakan operasi pada Mac tahun hadapan manakala selebihnya pada penghujung 2016.
“Prasarana membeli kesemua tren baharu itu daripada syarikat CSR Zhuzhou Electric Locomotive (CSR ZELC) bagi menggantikan tren lama yang telah digunakan sejak 1996.
“Kami berharap dengan penggunaan tren dan stesen baharu ini, perjalanan ke setiap destinasi akan menjadi lebih cepat selain menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam,” katanya.