Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua telah berusaha melemahkan kerajaan sebelum pilihan raya umum ke-13 dan kini mengalih serangannya terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) itu berkata, ketika itu Pua menyerang Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, tetapi kini seolah-olah ‘merancang’ serangan ke atas pada 1MDB pula.
“Objektif utamanya sudah tentu untuk anda (rakyat) akhirnya membenci dan marah dengan kerajaan.
“Dengan harapan pada masa pilihan raya umum 2013, anda akan cukup marah untuk mengundi BN walaupun ia sebenarnya menyebarkan kegelisahan yang boleh menjejaskan ekonomi,” kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Pada Khamis, beliau menulis di laman Facebook bagaimana pembangkang bertindak melulu membuat ‘tuduhan liar’ yang boleh menjejaskan ekonomi negara.
Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud, menceritakan kejadian beberapa tahun lalu apabila Pua menulis beberapa artikel dalam blognya mengenai bagaimana perniagaan Syed Mokhtar menimbulkan bahaya ke atas ekonomi dan pembayar cukai.
Menurut beliau, Pua menulis dalam blognya pada 23 Jun 2012 bahawa hutang RM34.3 bilion empayar perniagaan Syed Mokhtar boleh ‘menimbulkan kebimbangan apabila wang pembayar cukai digunakan sebagai ‘bailout’.
“Pua tidak hanya menulis artikel dalam blognya tetapi juga bercakap mengenainya dengan penuh semangat di Parlimen dan dalam ceramahnya (kempen). Sudah tentu, jentera DAP tanpa belas kasihan meluaskan mesej ini.
“Cukup jelas bahawa beliau yang melantik dirinya sendiri sebagai ‘pembawa berita buruk’ini mahu orang ramai percaya bahawa hutang Tan Sri Syed Mokhtar akan menyebabkan risiko sistemik kepada sistem kewangan dan mungkin membawa kepada keruntuhan ekonomi.
“Dia mahu memberikan gambaran suram ekonomi untuk rakyat Malaysia berasa takut,” katanya.
Tiga tahun selepas dakwaan Pua, Abdul Rahman berkata tiada apa yang berlaku kerana sistem perbankan di Malaysia adalah yang sihat dan kukuh.
Tambahnya, empayar perniagaan Syed Mokhtar tidak runtuh kerana hutang dan wang pembayar cukai tidak digunakan sebagai bailout.
Katanya, jika rakyat mempercayai kata-katanya tiga tahun lalu, mereka mungkin akan menjual saham, menangguhkan pelaburan anda dan menangguhkan untuk mengembangkan perniagaan.
“Malah saya tidak akan terkejut jika ada di antara kamu telah membuat keputusan untuk berkemas dan ‘cabut lari’ bersama keluarga anda dan berhijrah ke negara lain dari negara ‘mengerikan’ ini.