Mungkin sekarang masa terbaik untuk anda bertanya kepada diri sendiri kenapa Wall Street Journal, Sarawak Report dan pembangkang tega mengada-adakan cerita mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tidakkah anda dan kawasan-kawasan sewaktu dengannya setelah puas mengutuk, mencerca dan terbabit menyebarkan fitnah terhadap pemimpin dan kerajaan sedikit kesal dan baharu terdetik di hati terasa ingin tahu cerita sebenar?
Tidak teringinkah anda untuk mengetahui motif atau agenda Wall Street Journal, Sarawak Report dan pembangkang begitu beria-ia benar mahu menjahanamkan pemimpin dan kerajaan Malaysia?
Bukannya apa, 1MDB sudah disiasat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sejak penubuhannya pada 2009 namun tiada sebarang salah laku berjaya dikesan.
Faktanya, sejak siasatan awal itu juga ahli parlimen pembangkang sudah berada dalam PAC.
Lantaran itu, jika anda ikhlas, maka anda akan sedar bahawa wujud sekelompok besar dalam masyarakat yang tidak terpengaruh hasutan fitnah seperti anda.
Persoalannya tentulah kenapa? Namun kenapa pula 1MDB kembali diserang bertubi-tubi sejak awal tahun ini.
Tidakkah anda yang selama ini termakan fitnah hasutan Wall Street Journal, Sarawak Report dan pembangkang mahu tahu sebabnya.
Lalu, kenapa diam sahaja, kenapa tidak dimulakan gerakan-gerakan untuk bertanya kepada Wall Street Journal, Sarawak Report dan pembangkang.
Fakta sudah jelas bahawa dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri adalah sumbangan penderma dan bukannya dana milik 1MDB.
“SPRM mengesahkan RM2.6B adalah sumbangan penderma. Malangnya ramai pengguna di Twitter ditipu WSJ, Sarawak Report dan pembangkang yang mendakwa PM mengambil duit 1MDB dan rakyat,” kata Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan menerusi Twitter di akaun @mpkotabelud, Isnin malam.
Ahhh, jika sukar untuk bertanya kepada Wall Street Journal dan Sarawak Report kerana berpusat di luar negara, kenapa tidak menemui dan mendesak pembangkang dan peguam-peguam hebat mereka yang berada di dalam negara.
Kenapa dibiarkan rasa ingin tahu anda sekadar bersarang di dada sedangkan kerana mereka anda terpalit mengutuk, mencerca dan menyebarkan fitnah terhadap pemimpin dan kerajaan.
Ayuh, bangkit dan persoalkan segala persoalan yang terbuku di dada kepada pembangkang terutama ayam jaguh mereka seperti Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Ahli Parlimen PKR Pandan, Rafizi Ramli.
Soal dan desak mintakan jawapan jelas dari mereka, jangan biar mereka terus menerus menipu dan anda pula terus lagi termakan fitnah hasutan sia-sia.